Rabu, 22 April 2020 | 4:09pm
Carta aliran dikeluarkan JAIS mengenai proses kebenaran akad nikah di Selangor sepanjang tempoh PKP.
Carta aliran dikeluarkan JAIS mengenai proses kebenaran akad nikah di Selangor sepanjang tempoh PKP.

Hanya pasangan layak nikah online hubungi JAIS

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) meminta hanya pasangan layak memohon kebenaran khas akad nikah menghubungi jabatan itu untuk mendapatkan penjelasan urusan pernikahan.

Unit Korporat JAIS dalam kenyataan berkata, jabatan itu menerima kadar panggilan sangat tinggi sejak proses berhubung kebenaran khas akad nikah dibuka, Isnin lalu.

Kenyataan itu berkata, JAIS turut menerima panggilan tinggi orang awam membabitkan perkara tiada kaitan kebenaran khas akad nikah.

“Ini menyukarkan pasangan yang ingin berhubung dengan JAIS bagi mendapatkan penjelasan kebenaran khas akad nikah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Justeru, bagi melancarkan permohonan akad nikah dengan kebenaran khas ini, JAIS memohon kerjasama semua pihak untuk memberikan laluan kepada pasangan layak memohon serta mempunyai alasan munasabah.

“Sekiranya anda memerlukan khidmat nasihat bagi perkara selain dinyatakan seperti kursus praperkahwinan, anda boleh menghantarkan e-mel pertanyaan kepada [email protected],” katanya.

JAIS turut meletakkan syarat melayakkan pasangan memohon kebenaran khas, iaitu sudah mendapat kebenaran berkahwin daripada JAIS atau jabatan agama Islam negeri (JAIN); keputusan ujian saringan HIV; perintah wali hakim, bawah umur, janda berhias (jika berkaitan) serta visa berdasarkan surat pengesahan pas daripada Jabatan Imigresen (jika berkaitan).

Jelasnya, pasangan perlu memastikan kesemua dokumen itu masih sah digunakan untuk melayakkan mereka memohon kebenaran khas akad nikah.

“Jika dokumen berkaitan sudah tamat tempoh, pasangan berkenaan tidak layak memohon kebenaran khas itu,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X