Khamis, 23 April 2020 | 2:11pm
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg. - Foto EDMUND SAMUNTING.
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg. - Foto EDMUND SAMUNTING.

COVID-19: Abang Jo minta penduduk Sarawak terus patuh PKP

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg yang tamat menjalani kuarantin 14 hari di rumah hari ini, meminta penduduk negeri ini terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memerangi penularan wabak COVID-19.

Pematuhan kepada PKP, katanya, perlu berikutan jumlah mereka yang meninggal dunia akibat jangkitan virus COVID-19 di Sarawak agak tinggi, selaian bagi memudahkan usaha yang sedang dilaksanakan oleh pelbagai pihak untuk memutuskan rantaian penularan virus terbabit.

Untuk rekod, 16 kematian pesakit COVID-19 direkodkan di Sarawak sejak 17 Mac lalu sehingga semalam, manakala 455 lagi disahkan positif.

“Kita harus terus patuh (PKP) untuk memutuskan rantaian pandemik ini dengan memastikan tiada perhimpunan diadakan selagi keadaan tidak mengizinkan. Kita juga perlu terus mengamalkan disiplin diri dari segi kesihatan agar jangkitan dapat dikekang.

“Bagi yang ada mempunyai kontak dengan mereka yang disaring positif, berhubunglah dengan pihak kesihatan terdekat untuk menjalani saringan,” katanya dalam kenyataan pertamanya selepas mendapat pelepasan daripada perintah kuarantin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Ketua Menteri yang menjalani kuarantin 14 hari di rumah sejak 9 April lalu kerana menjadi kontak kepada kes COVID-19, turut mengucapkan selamat berpuasa kepada semua umat Islam dan selamat Hari Gawai buat masyarakat Dayak yang akan menyambut perayaan itu tidak lama lagi.

“Keadaan semasa tidak mengizinkan kita melakukan ibadat puasa atau menyambut perayaan Gawai seperti biasa. Saya mewakili kerajaan negeri amat berharap anda semua tabah menghadapi segala kekangan sepanjang PKP,” katanya.

Berita Harian X