Khamis, 23 April 2020 | 2:24pm
Yang Dipertua Majlis Daerah Tanjung Malim, Faizal Nizam Md Nor (depan tengah) bersama kakitangan bersemangat memerangi dan memutuskan rantaian wabak COVID-19 di negara ini. -Foto NSTP/Rosman Shamsuudin
Yang Dipertua Majlis Daerah Tanjung Malim, Faizal Nizam Md Nor (depan tengah) bersama kakitangan bersemangat memerangi dan memutuskan rantaian wabak COVID-19 di negara ini. -Foto NSTP/Rosman Shamsuudin

Dua konsep perniagaan diperkenalkan sempena bulan Ramadan

MUALLIM: Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) memperkenalkan konsep Berniaga dalam Restoran (BdR) bagi membantu golongan peniaga dapat menjual juadah berbuka puasa, semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sempena bulan Ramadan ini.

Yang DiPertua (YDP) MDTM, Faizal Nizam Md Nor, berkata jika peniaga menggunakan perniagaan e-bazar, secara tidak langsung mereka perlu menyediakan perkhidmatan penghantar makanan ke rumah.

Katanya, melalui BdR pula disasarkan kepada peniaga kecil yang terdiri daripada penjual kuih-muih atau lauk-pauk secara kecilan yang mana mereka boleh menghantar makanan itu ke restoran mengikut pilihan mereka sendiri.

”Mereka hanya perlu menghantar makanan tetapi yang menjual makanan itu adalah pemilik restoran terbabit dan dengan ini diharapkan dapat membantu peniaga kecil itu menjana pendapatan pada bulan Ramadan.

”Orang ramai boleh datang membeli juadah berbuka di restoran itu tetapi mesti mematuhi jarak sosial sekurang-kurangnya satu meter.

“Walau bagaimanapun kaedah pembelian menggunakan penghantar makanan adalah digalakkan,” katanya ketika ditemui di pejabat MDTM, di Behrang.

Faizal Nizam berkata, konsep ini diharapkan dapat membantu peniaga bazar Ramadan yang tidak dibenarkan beroperasi ketika PKP tetapi mereka amasih berpeluang untuk menjual juadah berbuka, selain berniaga melalui e-bazar.

Katanya, pengenalan dua konsep perniagaan ini semasa bulan Ramadan dalam tempoh PKP bagi memberi peluang sama rata kepada semua golongan peniaga, terutama peniaga yang tidak mahir selok belok perniagaan secara dalam talian.

”Sekarang terpulang kepada peniaga untuk memilih cara jualan mereka ketika bulan Ramadan. Apa pun peniaga perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selaras dengan syarat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Bagi perniagaan e-bazar, setakat ini MDTM menerima 72 permohonan daripada penghantar makanan dan 52 peniaga yang mendaftar dalam e-bazar,” katanya.

Beliau berkata, penghantar makanan perlu mendaftar dengan pihak MDTM setelah membuat saringan kesihatan daripada klinik kerajaan atau swasta.

Katanya, MDTM akan mengeluarkan atau memberikan pas kelulusan untuk mereka beroperasi sebagai penghantar makanan mengikut masa yang dibenarkan iaitu bermula jam 3.00 petang hingga 7.00 malam sahaja.

Berita Harian X