Sabtu, 25 April 2020 | 3:25pm
Muhamad Zikril Azan Abdullah. - Foto STR/Faiz Anuar
Muhamad Zikril Azan Abdullah. - Foto STR/Faiz Anuar

Tiada tanda harga, dua pekedai runcit kena kompaun RM1,000

HULU SELANGOR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor mengeluarkan kompaun masing-masing RM1,000 kepada dua pengusaha kedai runcit di daerah ini kerana tidak meletakkan tanda harga.

Pengarah, Muhamad Zikril Azan Abdullah, berkata anggota penguat kuasa KPDNHEP membuat pemeriksaan terhadap kedai runcit di Prima Beruntung dan Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung, kelmarin selepas aduan orang awam.

Siasatan mendapati peniaga gagal mempamerkan tanda harga bagi bawang besar merah.

Pemeriksaan terhadap premis di Taman Bunga Raya mendapati peniaga gagal mempamerkan tanda harga bagi gula bertapis kasar yang juga barang kawalan.

Muhammad Zikril berkata, peniaga dikesan mengambil kesempatan terhadap pelanggan dengan menjual harga sekilogram gula itu melebihi harga kawalan RM2.85 sekilogram.

"Premis berkenaan pernah dilawati beberapa kali pegawai kami bagi tujuan membuat teguran dan menasihatkan mereka yang melanggar arahan kerajaan.

"Dua peniaga berkenaan dikompaun di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi kesalahan gagal mempamerkan tanda harga barangan berkenaan," katanya.

Berita Harian X