Ahad, 26 April 2020 | 11:36am
Beberapa negeri sebelum ini sudah pun membenarkan majlis akad nikah kepada pasangan yang ingin berkahwin ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. - Gambar hiasan
Beberapa negeri sebelum ini sudah pun membenarkan majlis akad nikah kepada pasangan yang ingin berkahwin ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. - Gambar hiasan

Pahang benar majlis akad nikah

KUANTAN: Kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) membenarkan majlis akad nikah di negeri ini dengan menetapkan syarat dan tatacara yang perlu dipatuhi.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata keutamaan mengadakan majlis akad nikah ialah kepada bakal pasangan pengantin yang sudah mendapat kebenaran berkahwin daripada Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).

Beliau berkata, majlis akad nikah itu hanya dilaksanakan di PAID atau tempat yang difikirkan sesuai oleh Kadi Daerah bagi memastikan keselamatan, pematuhan syarat dan tatacara serta pemantauan.

Sehubungan itu, katanya, pemohon perlu membuat permohonan dalam talian menerusi https://emunakahat.pahang.gov.my/ dengan melengkapkan Borang Permohonan Khas Majlis Akad Nikah Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seterusnya e-mel ke PAID.

"PAID akan membuat semakan dengan Pejabat Kesihatan Daerah mengenai maklumat yang dinyatakan dalam borang permohonan bagi mengesahkan pihak yang hadir bukan senarai pesakit dalam siasatan (PUI) dan pesakit dalam pemantauan (PUS).

"Mana-mana pihak tersenarai sebagai PUI atau PUS tidak dibenarkan hadir ke majlis akad itu. Borang permohonan yang lengkap akan diproses oleh PAID dalam tempoh tujuh hari," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Wan Rosdy berkata, surat pemakluman kepada pemohon akan diserahkan melalui e-mel bagi menentukan tarikh dan masa majlis akad akan dilaksanakan.

Katanya, surat pemakluman ini perlulah dicetak oleh pemohon bagi tujuan pengesahan perjalanan hadir ke PAID.

"Kadi Daerah akan menentukan giliran tempoh waktu pelaksanaan majlis akad nikah mengikut jadual yang akan disusun oleh PAID dengan mengambil kira perbincangan bersama pihak pemohon.

"Pemohon dan pihak yang terbabit dalam majlis akad perlulah melepasi dan mematuhi langkah keselamatan yang akan dilaksanakan di peringkat PAID.

"Mereka perlu memakai penutup mulut dan hidung, melepasi ujian suhu, penggunaan cecair pensanitasi tangan, penjarakan sosial, patuh susun atur kedudukan majlis yang ditentukan dan membuat sanitasi tempat majlis akad," katanya.

Beliau berkata, meminimum kehadiran orang ke majlis iaitu tidak melebihi lapan orang dan hanya yang berkeperluan hadir iaitu seorang jurunikah, dua saksi, pengantin lelaki, pengantin perempuan dan seorang wali.

Katanya, tempoh masa pelaksanaan majlis akad nikah hendaklah dipendekkan iaitu tidak melebihi 20 minit.

"Semua yang hadir pada majlis akad nikah berkenaan hendaklah didaftarkan nama, alamat semasa dan nombor telefon.

"Upacara adat istiadat dalam majlis itu adalah tidak dibenarkan sama sekali. Beberapa keping gambar majlis akad nikah itu akan diambil oleh PAID bagi tujuan penyediaan laporan, rekod serta kemungkinan perkara berbangkit.

"Jika terdapat mana-mana pihak yang tidak mematuhi tatacara ini, Kadi Daerah atau wakilnya dengan kuasa Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Negeri Pahang boleh menangguhkan majlis itu.

"Diharapkan dengan syarat dan tatacara yang dikeluarkan ini dapat dipatuhi bukan sahaja kemudahan alternatif kepada bakal pengantin tetapi bagi memastikan keberkesanan usaha dalam membendung wabak pandemik COVID-19," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X