Selasa, 28 April 2020 | 9:28am
MUFTI Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil. - NSTP/Hassan Omar
MUFTI Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil. - NSTP/Hassan Omar

COVID-19: Individu baru sembuh, kuarantin di rumah solat sunat Aidilfitri sendirian - Mufti Melaka

MELAKA: Individu baru sembuh daripada COVID-19 serta diarahkan menjalani kuarantin di rumah di negeri ini, tidak dibenar menunaikan solat sunat Aidilfitri tahun ini bersama anggota keluarga yang lain.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil, berkata mereka sebaliknya harus menunaikan solat terbabit secara bersendirian bagi mengelakkan penularan wabak berbahaya itu.

Selain itu, beliau berkata, solat sunat Aidilfitri kali ini juga tidak boleh diadakan secara berjemaah di masjid serta surau, dan hanya ditunaikan di kediaman masing-masing bersama ahli keluarga.

"Solat sunat Hari Raya boleh dilakukan dengan atau tanpa khutbah mengikut kemampuan dan kesesuaian.

"Petugas yang diamanah menjalankan tanggungjawab di masjid dan surau, boleh menunaikan solat sunat itu dengan tertakluk kepada pekeliling serta arahan ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pesakit dan petugas di hospital pula dibenarkan menunai solat berkenaan tetapi tertakluk kepada peraturan serta arahan ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, takbir raya yang berfungsi sebagai syiar Islam disunatkan dilaung bermula selepas terbenam matahari pada hari terakhir Ramadan dan berterusan hingga selesai solat sunat Hari Raya.

Abdul Halim berkata, takbir raya di masjid dan surau hanya dilakukan imam, bilal serta siak atau dengan menggunakan rakaman.

Bagaimanapun, takbir dari rumah ke rumah pada malam raya tidak dibenarkan, sebaliknya umat Islam digalak melaungkan takbir di kediaman masing-masing.

Kelmarin, beliau dilaporkan berkata, alat komunikasi dan laman sosial harus dimanfaatkan sebagai pengganti diri untuk umat Islam menziarahi serta mengeratkan silaturahim sesama anggota keluarga dan sanak saudara pada Aidilfitri tahun ini.

Selain itu, rumah terbuka Aidilfitri tidak boleh diadakan bagi mengekang penularan COVID-19, manakala amalan menziarahi kubur harus digantikan dengan bacaan surah Yasin dan tahlil.

Amalan menghadiahkan kuih-muih sempena Aidilfitri boleh dilakukan tetapi dengan kaedah yang sesuai berdasarkan garis panduan penjagaan kesihatan bagi mengelakkan jangkitan wabak itu.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X