X
Rabu, 29 April 2020 | 2:42pm
Gambar fail (hiasan). MUIP memutuskan tiada khidmat amil bagi menguruskan kutipan zakat fitrah pada Ramadan tahun ini. - NSTP/RASUL AZLI SAMAD
Gambar fail (hiasan). MUIP memutuskan tiada khidmat amil bagi menguruskan kutipan zakat fitrah pada Ramadan tahun ini. - NSTP/RASUL AZLI SAMAD

15,983 sudah bayar zakat fitrah secara dalam talian di Pahang

KUANTAN: Seramai 15,983 pembayar sudah menunaikan zakat fitrah secara dalam talian di negeri ini sepanjang tempoh lima hari Ramadan.

Setiausaha Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Ahmad Hairi Hussain, berkata kutipan zakat fitrah yang diterima berjumlah RM473,018, setakat ini.

Beliau memaklumkan, kutipan zakat fitrah tertinggi daripada jumlah itu adalah melalui laman sesawang: ezakat.muip.gov.my sebanyak RM408,870 membabitkan 13,796 pembayar.

"Bayaran melalui aplikasi PahangGo pula RM52,486 membabitkan 1,787 pembayar, diikuti SnapNPay RM7,609 (278 pembayar) dan sistem pesanan ringkas (SMS) Fitrah15888 MUIP RM4,053 (122 pembayar).

"Kita menjangkakan jumlah kutipan zakat fitrah akan meningkat setiap hari berikutan pembayaran boleh dilakukan secara dalam talian dan SMS," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Hairi berkata, kadar zakat fitrah ditetapkan di Pahang pada tahun ini ialah RM7.

Justeru, beliau berkata, semua umat Islam di negeri ini hendaklah menunaikan zakat fitrah bermula awal Ramadan hingga selewat-lewatnya sebelum solat sunat Aidilfitri.

"Pada Ramadan tahun ini, MUIP memutuskan tiada khidmat amil bagi menguruskan kutipan zakat fitrah.

"Kemudahan pembayaran secara dalam talian serta SMS ini adalah usaha memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19 dan pematuhan kepada penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X