Jumaat, 1 Mei 2020 | 3:49pm
LIMA lelaki yang dikesan menunaikan solat sunat tarawih di sebuah surau di daerah Kuala Terengganu. NSTP/Ihsan JHEAT
LIMA lelaki yang dikesan menunaikan solat sunat tarawih di sebuah surau di daerah Kuala Terengganu. NSTP/Ihsan JHEAT

'Jangan buat lagi'

KUALA TERENGGANU: Lima jemaah di sebuah surau di daerah ini diberi amaran selepas dikesan melakukan solat tarawih berjemaah.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mohd Adnan Abdullah, berkata tindakan mereka berkumpul tetap salah walaupun mematuhi jarak sosial termasuk kedudukan jemaah dalam saf.

"Semua pihak perlu akur dengan arahan yang tidak membenarkan solat tarawih berjemaah dilakukan di masjid dan surau sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Hanya petugas masjid dan surau yang dipilih antara tiga orang sahaja dibenarkan berada di rumah ibadat itu bagi melaungkan azan.

"Justeru, masyarakat Islam digalakkan melakukan solat tarawih di rumah masing-masing bersama ahli keluarga bagi mengelak terdedah kepada risiko penularan COVID-19," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Adnan berkata, pihaknya berharap masyarakat di Terengganu mematuhi arahan ditetapkan bagi memutuskan rantaian COVID-19.

Katanya, kerajaan bekerja keras menangani COVID-19 dan semua pihak perlu memberi kerjasama.

"Individu yang tidak mematuhi arahan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Terengganu 2001 kerana menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama.

"Bagi kesalahan ini, individu yang terbabit boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan," katanya.

Berita Harian X