Jumaat, 8 Mei 2020 | 10:36am
Foto hiasan - BERNAMA
Foto hiasan - BERNAMA

Akad nikah terhad di JHEAT, Pejabat Agama Daerah

KUALA TERENGGANU: Majlis akad nikah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi negeri ini hanya boleh diadakan di Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Pejabat Agama Daerah.

Pesuruhjaya JHEAT, Mat Azmi Arshad, berkata majlis akad nikah di premis persendirian, masjid, surau atau tempat awam tidak dibenarkan kecuali mendapat kelulusan khas daripada Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju' Orang lslam negeri.

Beliau berkata arahan dan penetapan tatacara bagi majlis akad nikah di negeri ini berkuat kuasa sejak Ahad lalu.

"Penetapan itu untuk menjaga keselamatan pasangan dan memudahkan pemantauan pematuhan tatacara," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mat Azmi berkata, pemohon yang hendak menjalankan majlis akad nikah di lokasi lain hendaklah mendapatkan permit pengecualian kawalan pergerakan daripada Ketua Polis Negeri atau Ketua Polis Daerah.

Beliau berkata, Pegawai Agama Daerah akan menentukan tempoh waktu pelaksanaan majlis akad nikah berdasarkan perbincangan dengan pemohon.

"Bagaimanapun, JHEAT sudah membuat ketetapan kehadiran pada majlis akad nikah itu tidak melebihi 10 dewasa dan keutamaan kepada yang berkeperluan, termasuk jurunikah, pengantin lelaki dan wanita, seorang wali serta dua saksi bagi pengantin lelaki dan perempuan.

"Tempoh masa pelaksanaan majlis akad nikah hendaklah dipendekkan dan tidak melebihi 20 minit," katanya.

Mat Azmi turut menegaskan, semua yang hadir pada majlis akad nikah itu hendaklah mendaftarkan nama, alamat serta nombor telefon dan diserahkan kepada Pegawai Agama Daerah.

Katanya, mereka yang hadir perlu sentiasa menggunakan cecair pembersih tangan sebelum dan selepas majlis akad nikah.

"Acara lain selain daripada majlis akad nikah tidak dibenarkan diadakan.

"Pegawai Agama Daerah boleh menangguhkan majlis akad nikah jika mereka gagal mematuhi tatacara dikeluarkan," katanya.

Mat Azmi turut menjelaskan dokumentasi yang berkaitan majlis akad nikah seperti sijil pendaftaran dan pengeluaran surat perakuan nikah akan dikeluarkan selepas tamat tempoh PKP.

Berita Harian X