Sabtu, 9 Mei 2020 | 12:09pm
Nor Nadia Abdullah sedang menyiapkan tempahan baju raya di rumahnya di Kampung Kedai Buloh, Kota Bharu. - Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
Nor Nadia Abdullah sedang menyiapkan tempahan baju raya di rumahnya di Kampung Kedai Buloh, Kota Bharu. - Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaidi

Tempahan baju raya tidak semeriah dulu

KOTA BHARU: "Walaupun tempahan baju raya tidak banyak diterima, namun saya tetap bersyukur kerana masih ada yang menghantarnya untuk dijahit," kata ibu tunggal, Nor Nadia Abdullah, 31.

Nor Nadia berkata, kebiasaannya Ramadan dan Aidilfitri menjadi lubuk rezeki berganda buatnya apabila terpaksa bersengkang mata hingga pagi untuk menyiapkan tempahan pelanggan.

Katanya, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan pandemik COVID-19, tempahan baju raya tidak lagi sebanyak seperti tahun sebelum ini.

"Pada tahun ini saya hanya menerima 60 pasang tempahan baju raya berbanding 150 pasang baju pada tahun sebelumnya.

"Kebiasaannya saya akan mengambil tempahan dua bulan lebih awal sebelum Ramadan, namun pada kali ini tidak banyak tempahan dan kebanyakan baju dihantar oleh pelanggan sebelum PKP," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kedai Buloh, di sini, baru-baru ini.

Ibu kepada tiga anak yang berusia antara setahun hingga 11 tahun ini berkata, sehingga kini, dia sudah menyiapkan beberapa pasang pakaian raya dan disebabkan PKP ada pakaian perlu dihantar menggunakan pos bagi pelanggan di luar Kelantan.

"Walaupun rezeki saya pada Ramadan kali ini tidak seperti tahun sebelumnya, saya tetap bersyukur kerana masih ada tempahan walaupun bilangannya tidak banyak.

"Bukan saya seorang yang terkesan, saya percaya beberapa kelompok kecil tukang jahit juga mengalami situasi sama," katanya yang mewarisi kebolehan menjahit daripada ibunya, Che Rahimah Che Seman, 67.

Katanya, dia mengambil upah menjahit antara RM30 hingga RM250 mengikut potongan serta fesyen yang diinginkan pelanggan.

Berita Harian X