Ahad, 10 Mei 2020 | 6:56pm

COVID-19: Perak kembali catat 2 kes terbaharu

IPOH: Perak kembali mencatatkan kes COVID-19 susulan dua kes terbaharu membabitkan dua beradik dari Sitiawan yang dikesan dengan wabak itu menerusi saringan kesihatan sebelum kembali bekerja.

Kes kedua pula dikesan melalui aktiviti pengesanan kontak rapat menerusi kes pertama.

Dua kes itu dilaporkan selepas 10 hari Perak melaporkan bebas daripada kes aktif wabak COVID-19.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, dua beradik berkenaan adalah warga tempatan berusia 29 dan 30 tahun.

"Kes pertama dikesan melalui saringan sebelum kembali berkerja manakala kes kedua pula melalui aktiviti pengesanan kontak rapat bagi kes pertama.

"Kedua-dua kes tiada bergejala dan punca jangkitan masih dalam siasatan," katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.

Pada 30 April lalu, media melaporkan Perak negeri bebas daripada kes aktif COVID-19 selepas dua pesakit terakhir yang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, sembuh dan dibenarkan keluar pada 29 April.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dilaporkan berkata, ini menjadikan kesemua 247 pesakit positif COVID-19 yang direkodkan di negeri itu pulih daripada wabak berkenaan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X