Selasa, 12 Mei 2020 | 11:42am
Pegawai kesihatan membuat saringan COVID-19 secara pandu lalu di Klinik Kesihatan Masjid Tanah, Melaka - Foto NSTP/Hassan Omar
Pegawai kesihatan membuat saringan COVID-19 secara pandu lalu di Klinik Kesihatan Masjid Tanah, Melaka - Foto NSTP/Hassan Omar

Saringan pandu lalu di Klinik Kesihatan Masjid Tanah

ALOR GAJAH: Pejabat Kesihatan Alor Gajah hari ini meminta mereka yang mempunyai gejala demam, selsema atau sakit tekak, selain kontak rapat dengan individu positif COVID-19 atau berada di lokasi yang ada risiko dijangkiti wabak itu, menjalani saringan kesihatan secara pandu lalu.

Saringan berkenaan diadakan dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari mulai hari ini hingga 19 Mei ini di Klinik Kesihatan Masjid Tanah, dekat sini bagi mengenal pasti mereka yang berisiko dijangkiti wabak berbahaya itu.

Dalam kenyataannya, jabatan berkenaan berkata, sesiapa yang mempunyai gejala itu harus membuat janji temu melalui aplikasi Whatsapp ke nombor 019-6312213 dan mereka akan diberikan masa dan tarikh untuk menjalani saringan.

Sementara itu, tinjauan di klinik berkenaan mendapati kereta mereka yang menjalani saringan berbaris panjang sejak jam 8 pagi meskipun saringan hanya dimulakan pada jam 9 pagi.

Sekurang-kurangnya tujuh doktor dengan dibantu beberapa jururawat mengambil bacaan suhu badan dan air hidung pemandu di perkarangan klinik berkenaan serta memberikan dokumen tertentu kepada pemandu sebelum mereka beredar.

Seorang petugas klinik berkenaan yang enggan dikenali berkata, saringan terpaksa diadakan secara pandu lalu bagi mengelakkan kesesakan teruk di dalam dan perkarangan klinik jika saringan secara biasa dibuat.

"Hanya mereka yang sudah membuat janji temu diperiksa dan ia akan berlanjutan hingga 19 Mei ini," katanya.

Sementara itu, difahamkan saringan itu diadakan khusus untuk mereka yang pernah mengunjungi sebuah pasar raya di pekan Masjid Tanah dari 24 April lalu hingga 3 Mei lalu selepas seorang juruwang wanita pasar raya itu disahkan positif COVID-19.

Pasar raya berkenaan sudah diarahkan Jabatan Kesihatan negeri menghentikan operasi dari 4 Mei lalu hingga 17 Mei ini.

Juruwang terbabit yang tinggal di sebuah kampung kira-kira lapan kilometer (km) dari pekan Masjid Tanah dibawa ke Hospital Melaka pada Sabtu lalu.

Difahamkan juruwang terbabit adalah seorang daripada kira-kira 150 kakitangan pasar raya itu yang menjalani saringan di klinik berkenaan pada 5 Mei lalu.

Saringan terhadap kakitangan pasar raya itu dilakukan selepas seorang wanita berusia 42 tahun dan seorang remaja lelaki berusia 20 tahun yang positif COVID-19 menjelaskan kepada Jabatan Kesihatan negeri, mereka pernah mengunjungi pasar raya berkenaan antara 24 April lalu hingga 3 Mei lalu.

Wanita dan remaja terbabit adalah penghuni sebuah pusat pengajian agama di Kampung Pulau Semut, Solok Duku, Masjid Tanah.

Berikutan itu, seramai 86 penghuni pusat berkenaan dibawa ke Pusat Kuarantin COVID-19 Melaka di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CReATE) Jabatan Kerja Raya di Alor Gajah bagi menjalani proses kuarantin berpusat.

Seramai 19 lagi penghuni pusat berkenaan menjalani proses kuarantin dalam pusat itu dengan enam daripada mereka perempuan dewasa, selain kanak-kanak perempuan (tiga) dan kanak-kanak lelaki (10).

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X