Rabu, 13 Mei 2020 | 8:02am
Peniaga di Pasar Awam Kuala Pilah menjalankan aktiviti perniagaan seperti biasa. -Foto NSTP/Amran Yahya
Peniaga di Pasar Awam Kuala Pilah menjalankan aktiviti perniagaan seperti biasa. -Foto NSTP/Amran Yahya

Tular Pasar Awam Kuala Pilah positif COVID-19 palsu

KUALA PILAH : Cerita tular di media sosial, Facebook dan aplikasi WhatsApp berhubung satu kes terbaharu positif COVID-19 di daerah ini, adalah tidak benar.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap menerusi satu kenyataan, berkata pihaknya menafikan bahawa kes itu membabitkan Pasar Awam Kuala Pilah atau mempunyai kaitan dengan kluster kilang ayam di Pedas, Rambau.

"Bagaimanapun, memang terdapat pertambahan satu kes positif COVID-19 yang telah dinotifikasi ke Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah jam 1.30 tengahari, pada 11 Mei (Isnin) lalu dan ini menjadikan jumlah komulatif positif COVID-19 di daerah ini sebanyak tujuh kes.

"Kes ini adalah seorang lelaki warganegara Malaysia dan ujian saringan COVID-19 telah dijalankan pada 8 Mei (Jumaat) di Seremban sebagai keperluan sebelum memulakan tugas di sektor pembinaan berkenaan.

"Kes telah dimasukkan ke Hospital Rembau untuk pengasingan dan rawatan manakala kontak rapat sudah dikenalpasti dan diberikan perintah kuarantin selama 14 hari.

"Pihak berkaitan sedang menjalankan siasatan untuk mencari punca jangkitan dan sehingga ke hari ini tiada lagi kes yang membabitkan peniaga Pasar Awam Kuala Pilah," katanya.

Sementara itu, Mohd Faizal menasihatkan agar orang awam tidak menyebarkan sebarang berita yang tidak sahih kerana boleh menguggat keharmonian dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X