Rabu, 13 Mei 2020 | 10:14pm
(Gambar fail) Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik. - FOTO BERNAMA
(Gambar fail) Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik. - FOTO BERNAMA

PKPB: Pemeriksaan di tiga laluan ke Terengganu

KUALA TERENGGANU: Semua kenderaan dari pantai Barat yang menggunakan laluan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) ke negeri ini, akan dilencongkan ke kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, Kemaman, berkuat kuasa serta-merta.

Ketika di kawasan R&R Perasing, hanya kenderaan yang mempunyai kelulusan rentas negeri dibenar meneruskan perjalanan ke Terengganu.

Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik, menegaskan kenderaan yang tidak mempunyai kelulusan merentas negeri akan diarahkan untuk berpatah balik.

Beliau berkata, hanya kenderaan yang menggunakan laluan LPT akan dilencongkan di kawasan R&R Perasing untuk pemeriksaan.

"Kaedah itu bertujuan memastikan semua pemandu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti yang diumumkan kerajaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Petang tadi, Roslee dengan diiringi Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, serta Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Daerah Kemaman, Asisten Superintendan Zul Ilham Abd Rahim, melawat tapak sekatan jalan raya (SJR) di kawasan R&R Perasing.

Mengulas kenderaan yang datang dari arah Kuantan dan menggunakan laluan pantai, termasuk melalui Kampung Cherating sebelum memasuki negeri ini pula, Roslee menjelaskan, SJR turut diadakan di sempadan Pahang-Terengganu di Kampung Chendor.

Beliau berkata, tindakan sama akan diambil, iaitu hanya pemandu yang mempunyai kelulusan merentas negeri dibenar meneruskan perjalanan.

"Selain di sempadan Pahang-Terengganu di Kampung Chendor, SJR juga turut diadakan Jalan Jerangau-Jabor.

"Semua kenderaan yang menggunakan laluan dari FELDA Bukit Goh, Kuantan, dan FELDA Neram, Kemaman, akan diperiksa ketika melalui SJR di Jalan Jerangau-Jabor," katanya.

Roslee berkata, pergerakan merentas antara daerah di negeri ini bagaimanapun dibenarkan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X