Khamis, 14 Mei 2020 | 5:12pm

Masjid di Johor buat persiapan solat Jumaat esok

JOHOR BAHRU: Masjid dan surau di negeri ini membuat persiapan akhir bagi solat Jumaat esok yang hanya boleh disertai 12 individu membabitkan ahli jawatankuasa masjid atau surau.

Ia selepas lapan minggu solat Jumaat ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sejak 18 Mac lalu.

Tinjauan di Masjid Daing Abdul Rahman, di Nusa Idaman, di sini, mendapati petugas sedang sibuk membersihkan masjid selain membuat tanda penjarakan sosial di ruangan solat.

Pengerusi Masjid Daing Abdul Rahman, Prof Madya Mustafa Yusof, berkata persiapan akhir membuka kembali masjid berkenaan untuk solat Jumaat sedang giat dijalankan.

Katanya, ia termasuk membincangkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Persiapan akhir sedang giat dijalankan termasuk kerja pembersihan, ruangan solat berdasarkan penjarakan sosial selain meja pendaftaran bagi mencatatkan butiran serta memeriksa suhu ahli jawatankuasa masjid yang akan hadir esok.

"Kita juga menggalakkan setiap ahli jawatankuasa yang hadir esok membawa sejadah masing-masing selain meminta mereka menggunakan pelitup mulut ketika berada di premis masjid.

"Bagi penjarakan sosial ruang solat, masjid ini menetapkan tujuh jemaah akan bersolat di saf pertama manakala lima lagi di saf kedua dengan jarak satu meter antara mereka," katanya ketika ditemui di masjid berkenaan, hari ini.

Semalam, JAINJ membenarkan hanya 12 orang menunaikan solat Jumaat di masjid dan surau yang diberi kebenaran melaksanakannya sepanjang tempoh Perintah PKPB, bermula esok.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Tosrin Jarvanthi, dilaporkan berkata 12 orang terbabit ialah imam satu, imam dua, bilal, noja dengan lapan ahli jawatankuasa.

Bagaimanapun, beliau dilaporkan berkata, mereka tetap perlu mematuhi garis panduan disediakan JAINJ dan KKM.

Sejak PKP dan PKPB dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu, hanya tiga orang pegawai masjid yang dibenar melaksanakan laungan azan dan pelaksanaan solat berjemaah lima waktu dan solat tarawih di masjid, iaitu imam, bilal dan noja.

Bagi menghidupkan syiar Ramadan, institusi berkenaan dibenarkan untuk menggunakan alat pembesar suara bagi bacaan ayat suci al-Quran 10 minit sebelum azan Maghrib, selain bacaan al-Quran serta tarhim 15 minit sebelum Subuh.

DUA ahli jawatankuasa Masjid Daing Abdul Rahman melakukan persiapan bagi membolehkan seramai 12 orang jemaah menunaikan solat Jumaat di masjid itu esok, selepas kerajaan negeri Johor membenarkan pelaksanaan solat Jumaat, solat sunat Aidilfitri serta akad nikah dilaksanakan tetapi perlu mematuhi syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). - Foto BERNAMA
DUA ahli jawatankuasa Masjid Daing Abdul Rahman melakukan persiapan bagi membolehkan seramai 12 orang jemaah menunaikan solat Jumaat di masjid itu esok, selepas kerajaan negeri Johor membenarkan pelaksanaan solat Jumaat, solat sunat Aidilfitri serta akad nikah dilaksanakan tetapi perlu mematuhi syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). - Foto BERNAMA
Berita Harian X