Khamis, 14 Mei 2020 | 9:13pm
(Gambar fail) Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
(Gambar fail) Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

Selangor belum benarkan orang awam solat Jumaat

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan membenarkan solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri), Masjid Diraja serta Masjid Daerah, mulai esok.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad, berkata bagaimanapun hanya Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid dan imam dibenarkan bagi tujuan itu, membabitkan tiga hingga 12 orang maksimum.

"JAIS masih mengekalkan untuk semua masjid dan surau tidak boleh mendirikan solat Jumaat seperti ketetapan awal jabatan menerusi surat bertarikh 16 April lalu.

"Namun, Sultan Sharafuddin berkenan setelah berbincang dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Mufti Selangor dan JAIS.

"Selepas mendapat pandangan dari sudut hukum syarak, hanya AJK masjid dan imam dibenar menunaikan solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri di masjid, iaitu seramai tiga hingga maksimum 12 orang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menjelaskan, sebarang ketetapan mengenai perkara itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, mengumumkan semua masjid, surau Jumaat dan surau terpilih di zon hijau di Wilayah Persekutuan boleh mendirikan solat Jumaat, solat berjemaah setiap waktu termasuk solat sunat tarawih, serta solat sunat Aidilfitri, mulai esok, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X