Jumaat, 15 Mei 2020 | 2:02pm
Pemeriksaan suhu dan saringan gejala COVID-19 dilakukan terhadap mangsa banjir juga turut dilaksanakan ketika pendaftaran masuk ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS). - Foto ihsan JKNJ
Pemeriksaan suhu dan saringan gejala COVID-19 dilakukan terhadap mangsa banjir juga turut dilaksanakan ketika pendaftaran masuk ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS). - Foto ihsan JKNJ

COVID-19: Keluarga mangsa banjir di PPS diasingkan di bilik darjah

JOHOR BAHRU: Mangsa banjir di negeri ini yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akan menggunakan bilik kelas sekolah secara berasingan dengan keluarga masing-masing, berbanding dewan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata ia sebagai langkah berjaga-jaga terhadap penularan wabak COVID-19 di PPS.

"Baru-baru ini, Johor menghadapi hujan lebat yang membawa kepada kejadian banjir kilat. Tiga daerah di negeri ini mengalami banjir kilat iaitu Johor Bahru, Kluang dan Tangkak sekali gus mengakibatkan beberapa PPS dibuka bagi menempatkan mangsa banjir ini.

"Terdapat dua PPS masih dibuka di daerah Kluang yang membabitkan 63 mangsa dari 18 keluarga manakala PPS di daerah lain sudah ditutup.

"Bagaimanapun, bagi mengelakkan berlaku sebarang kluster jangkitan COVID-19, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengambil langkah penggunaan bilik kelas sekolah sebagai PPS berbanding dewan dengan mengasingkan setiap keluarga di kelas sekolah yang berbeza," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, setiap mangsa banjir juga perlu melakukan penjarakan sosial di PPS selain ketika proses pemindahan dibuat.

Tempat mencuci tangan dengan sabun serta cecair pembasmi kuman juga disediakan di PPS.

Ada empat mangsa banjir yang dilaporkan mempunyai gejala jangkitan respiratori di PPS di Kluang. Namun melalui pemeriksaan fizikal dan penilaian risiko, termasuk sejarah dedahan dan sejarah perjalanan, kes berkenaan tidak dikategorikan sebagai disyaki COVID-19.

Bagaimanapun mangsa yang bergejala diminta memakai pelitup muka sepanjang masa di PPS. Pemeriksaan suhu dan saringan gejala COVID-19 kepada mangsa banjir juga turut dilakukan ketika pendaftaran masuk ke PPS selain dilakukan secara harian sebagai langkah berjaga-jaga.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X