Ahad, 17 Mei 2020 | 5:35pm
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. - Foto NSTP
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. - Foto NSTP

Guru terus curahkan ilmu dengan ikhlas - MB Terengganu

KUALA TERENGGANU: Sambutan Hari Guru dalam suasana baharu unik dan berbeza, mampu mengangkat semangat pendidik mencurahkan ilmu dengan ikhlas, sekali gus membentuk ketulenan generasi terbilang masa depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata di sebalik cabaran semasa dan mendatang dan emosi guru serta murid sentiasa tercabar, tanggungjawab itu perlu dilaksanakan dan segala cabaran perlu diharungi.

"Walaupun Hari Guru disambut dalam suasana berbeza dengan sekolah sunyi tanpa bicara guru dan gelagat anak murid, inilah cabaran semasa ketika COVID-19 melanda seluruh dunia yang menjadi catatan penting sejarah.

"Justeru, kreativiti semua pihak amat dinantikan bagi memastikan pembelajaran tidak terganggu dan pada masa sama, saya pasti guru serta murid merindui untuk kembali ke sekolah," katanya yang turut menyampaikan sajak nukilan penyair kelahiran Terengganu, Allahyarham JM Aziz berjudul Bunga Sirih Untuk Guru.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Saiful Bahari Mamat dan Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Salim Ab Ghani.

Sementara itu, Salim berkata, JPNT tetap meraikan hari bersejarah sebagai pengiktirafan terhadap peranan dan sumbangan guru mendidik anak bangsa serta memacu kemajuan pendidikan di negara ini.

"Guru perlu melengkapi diri dengan kemahiran pedagogi bersifat holistik, meneroka penggunaan model pembelajaran pelbagai mod memanfaatkan teknologi supaya dapat mencungkil kemahiran berfikir aras tinggi serta mengukuhkan pembelajaran murid," katanya.

Pada majlis itu, Tokoh Guru Terengganu 2020 dianugerahkan kepada bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Omar, Dungun, Md Zain Muda, manakala Tokoh Guru Daerah Kuala Terengganu diberikan kepada bekas Pengetua Cemerlang SMK Padang Midin, Zah Mohamad.

Tokoh Guru Daerah Besut pula diberikan kepada Ab Halim Hassan; Che Robiah Abdullah (Dungun); Jusoh Embong (Kemaman); Mohd Khalid Mustafa (Hulu Terengganu); Azahar Abu Bakar (Kuala Nerus); Kamaruddin Arifin (Marang) dan Kipayatu Allah Mohd Said (Setiu), sementara Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan menjadi milik Ngah Bidin.

Sambutan Hari Guru Peringkat Terengganu Ke-49 itu diadakan secara maya dan mendapat tontonan lebih 2,500 peserta.

Berita Harian X