Isnin, 18 Mei 2020 | 9:12am
Normah Suhor memasang pelita raya di halaman rumahnya di Kampung Kuala Talang, Tanjung Ipoh. NSTP/AMRAN YAHYA.
Normah Suhor memasang pelita raya di halaman rumahnya di Kampung Kuala Talang, Tanjung Ipoh. NSTP/AMRAN YAHYA.

Sepi ibu di Aidilfitri

KUALA PILAH: "Pelita raya tetap dipasang biarpun Aidilfitri tahun ini saya keseorangan di rumah tanpa anak dan cucu," kata warga emas Normah Suhor, 77.

Normah ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuala Talang, Tanjung Ipoh dekat sini berkata, dia berhasrat menyambut Aidilfitri tahun ini bersama empat anak, 10 cucu dan dua cicitnya, namun hajatnya itu tidak kesampaian apabila kesemua mereka yang menetap di Kuala Lumpur tidak dapat pulang berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Normah berkata, menjadi amalan keluarganya pada setiap pertengahan Ramadan, kesemua anak dan cucu akan pulang untuk sama-sama bergotong royong memasang pelita raya di sekeliling rumah.

"Sejak dulu itulah tradisi keluarga kami. Apabila terpasangnya pelita raya, maksudnya sudah di pertengahan Ramadan dan ketika itu jugalah semua anak-anak serta cucu akan pulang ke kampung untuk berbuka puasa bersama sambil memasang pelita raya.

"Jiwa akan tenang dan gembira apabila melihat anak dan cucu berlari-lari bermain bunga api di halaman rumah.

"Namun, semua itu tiada tahun ini, kesemua anak-anak sudah maklumkan mereka tidak dapat pulang menyambut Aidilfitri di kampung," katanya.

Kata Normah, sehingga kini lebih dua bulan kesemua anak tidak dapat pulang menjenguknya di kampung semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

"Arwah suami meninggal kira-kira lima tahun lalu dan sejak itu saya tinggal sendirian di rumah kerana anak-anak bekerja di Kuala Lumpur.

"Bagaimanapun, menjelang hujung minggu dan cuti umum, anak-anak akan pulang menjenguk saya di kampung secara bergilir-gilir tetapi kali ini mereka tidak dapat berbuat demikian.

"Ada juga antara mereka yang berhasrat untuk pulang namun saya menasihatkan agar tidak perlu berbuat demikian kerana membahayakan diri sendiri," katanya.

Kata Normah, selain memasang pelita raya, membakar lemang juga merupakan tradisi keluarganya setiap menjelang hari raya.

"Kelapa untuk santan lemang telahpun saya sediakan sejak awal Mei lalu namun setelah arahan PKP disambung, hasrat untuk membakar lemang terpaksa dibatalkan.

"Biarlah tidak membakar lemang asalkan saya tidak sayu mengenangkan anak-anak, cucu serta cicit di perantauan," katanya.

Difahamkan kakak sulong Normah, Noraini, 79, yang tinggal berhampiran rumahnya juga menyambut Aidilfitri bersendirian kerana kesemua anaknya yang kini menetap di luar Negeri Sembilan tidak dapat pulang ke kampung disebabkan PKP.

Berita Harian X