Isnin, 18 Mei 2020 | 6:21pm
Polis dan tentera membuat pemeriksaan di sekatan jalan raya di Beranang, Semenyih. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Polis dan tentera membuat pemeriksaan di sekatan jalan raya di Beranang, Semenyih. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

Polis Selangor arah 377 kenderaan patah balik

SHAH ALAM: Sebanyak 377 kenderaan diarahkan patah balik semalam selepas didapati cuba merentas negeri tanpa mendapatkan permit daripada polis.

Jurucakap Khas Op COVID-19 Polis Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew, berkata cubaan rentas negeri itu dikesan di sekatan jalan raya (SJR) di empat lokasi sempadan negeri dan tujuh plaza tol.

"Untuk sempadan negeri, kita melakukan SJR di empat daerah, iaitu Kajang, Hulu Selangor, Sabak Bernam dan Sepang, manakala plaza tol membabitkan tujuh daerah dengan 10 SJR.

"Bagi SJR di plaza tol, sebanyak 11,767 kenderaan diperiksa dan 270 diarahkan patah balik. SJR di sempadan negeri, 5,849 kenderaan diperiksa dan 107 diarahkan patah balik kerana tidak mempunyai permit rentas negeri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Muhammad Yazid berkata, pelbagai alasan diberikan orang awam untuk rentas negeri walaupun tidak mendapat permit daripada polis.

Beliau berkata, antara alasan paling banyak digunakan adalah mahu pulang melawat keluarga khususnya pada musim perayaan ini.

"Polis Selangor menasihatkan orang awam tidak bergerak merentas negeri jika tiada permit daripada polis dan teruskan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya.

Muhammad Yazid berkata, Polis Selangor juga menerima 24,188 dan meluluskan 21,956 permohonan rentas negeri pada 6 Mei hingga semalam.

Katanya, hingga kini tiada tangkapan dibuat kerana orang awam yang diarahkan patah balik menurut arahan polis.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X