Selasa, 19 Mei 2020 | 8:41am
Lokasi kejadian kemalangan yang mengorbankan seorang jururawat di Kilometer 28, Jalan Beaufort - Menumbok. - NSTP/Juwan Riduan
Lokasi kejadian kemalangan yang mengorbankan seorang jururawat di Kilometer 28, Jalan Beaufort - Menumbok. - NSTP/Juwan Riduan

Jururawat maut kereta bertembung pacuan 4 roda

BEAUFORT: Perjalanan pulang seorang jururawat berakhir tragedi apabila kereta dipandunya terbabit kemalangan di Kilometer 28, Jalan Beaufort - Menumbok, Kampung Nukahan, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.15 petang itu, mangsa Siti Zaharah Jeris @ Idris, 34 yang bertugas di Klinik Kesihatan Kerukan, Kuala Penyu, meninggal dunia akibat parah di bahagian dalam badan.

Difahamkan, mangsa baru selesai bekerja dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Kerukan, Kuala Penyu.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak, berkata, mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Viva dalam perjalanan arah Beaufort menuju ke Kuala Penyu.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai cuba memotong dua kenderaan di hadapan tetapi gagal lalu bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang datang dari arah bertentangan.

"Akibat daripada kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Penyu," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azmir berkata, pemandu Toyota Hilux lelaki berusia 52 tahun tidak mengalami kecederaan.

"Siasatan masih diteruskan dan setakat ini tiada unsur-unsur khianat atau jenayah yang ditemui dalam kejadian itu.

"Kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan teruk di bahagian depan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X