Selasa, 19 Mei 2020 | 10:25pm
Gambar fail - hiasan.
Gambar fail - hiasan.

PKPB: JAIS larang ziarah Makam Diraja, kubur pada Aidilfitri tahun ini

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melarang sebarang aktiviti menziarahi Makam Diraja atau tanah perkuburan Islam pada perayaan Aidilfitri tahun ini.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad, berkata ketetapan itu dibuat bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19 sejajar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Sebarang aktiviti menziarahi Makam Diraja atau tanah perkuburan Islam sepanjang Aidilfitri, khususnya sebelum dan selepas solat sunat Hari Raya, adalah tidak dibenarkan.

"Mereka yang berhasrat menziarahi kubur arwah dalam tempoh itu boleh menggantikannya dengan amalan tahlil, zikir serta doa di kediaman masing-masing," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau berkata, pengurus atau pihak yang menguruskan Makam Diraja dan tanah perkuburan Islam di negeri ini hendaklah membantu JAIS bagi memastikan ketetapan itu dipatuhi oleh semua pihak.

Beliau berkata, larangan itu, khususnya untuk sebelum dan selepas solat sunat Aidilfitri, ditetapkan berikutan kebimbangan akan berlaku pertembungan orang ramai di tanah perkuburan.

"Tempoh kuat kuasa ketetapan ini tertakluk kepada satu siaran yang akan dikeluarkan JAIS kemudian," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X