Selasa, 19 Mei 2020 | 11:49pm
Kebenaran solat berjemaah di Pulau Pinang bagi sembahyang fardu lima waktu adalah terhad kepada tiga orang, iaitu imam, bilal dan siak. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Kebenaran solat berjemaah di Pulau Pinang bagi sembahyang fardu lima waktu adalah terhad kepada tiga orang, iaitu imam, bilal dan siak. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Pulau Pinang benarkan solat berjemaah, terhad 3 orang

GEORGETOWN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) membenarkan solat fardu berjemaah di semua masjid dan surau negeri ini dengan menetapkan beberapa garis panduan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengarah JHEAIPP, Zulkifli Long, berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Pembangunan Masjid dan Hal Ehwal Kariah Majlis Agama Islam Pulau Pinang pada 14 Mei lalu.

"Kebenaran solat berjemaah bagi sembahyang fardu lima waktu adalah terhad kepada tiga orang, iaitu imam, bilal dan siak yang bertugas sahaja serta masih tertakluk kepada pekeliling jabatan bertarikh 21 April lalu," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Namun, beliau berkata, solat sunat tarawih dan Aidilfitri serta lain-lain aktiviti berkaitan, termasuk ceramah dan tazkirah, ditangguhkan hingga arahan baharu dikeluarkan oleh JHEAIPP.

"Bagi tujuan syiar Islam sempena sambutan Hari Raya, semua masjid dan surau dibenar melaungkan takbir oleh pegawai masjid (imam dan bilal) serta siak bertugas atau memasang rakaman bermula selepas solat isyak hingga jam 9.30 malam pada malam Hari Raya," katanya.

Zulkifli berkata, arahan pelaksanaan aktiviti di masjid serta surau akan dikeluarkan dari semasa ke semasa dan secara berperingkat, tertakluk kepada perkembangan situasi COVID-19 serta atas nasihat Kementerian Kesihatan.

Pada 15 Mei lalu, Mufti negeri, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, mengumumkan pelaksanaan solat Jumaat dibenarkan di Pulau Pinang mulai Jumaat ini dengan bilangan jemaah terhad antara 12 hingga 15 orang sahaja pada satu-satu masa membabitkan pegawai dan ahli jawatankuasa kariah serta siak di masjid atau surau. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X