Rabu, 20 Mei 2020 | 10:35am

Solat sunat Aidilfitri di rumah saja

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak membenarkan umat Islam di Selangor melaksanakan solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau dalam negeri itu.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad, berkata hanya imam, bilal dan siak yang dijadualkan bertugas di masjid dan surau sahaja diberikan kebenaran.

"Pegawai masjid dan surau yang diarahkan bertugas itu terhad kepada tiga orang sahaja dibenarkan melaksanakan di masjid dan surau masing-masing mengikut tentatif ditetapkan.

"Ahli kariah hendaklah melaksanakan solat sunat Aidilfitri di kediaman masing-masing bersama keluarga.

"Siaran takbir Hari Raya dan pelaksanaan solat sunat Aidilfitri boleh diikuti melalui Facebook Live Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Shahzihan berkata, JAIS turut menyediakan tentatif sambutan 1 Syawal sebagai garis panduan semua.

"Pada malam 30 Ramadan, selepas pengisytiharan tarikh hari raya Aidilfitri oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, umat Islam di Selangor digalakkan mengumandangkan takbir malam raya di kediaman masing-masing bersama keluarga selepas solat fardhu Isyak, di mana boleh diikuti melalui pembesar suara masjid dan surau.

"Pada 1 Syawal pula, ketua keluarga dan ahli keluarga mengumandangkan takbir Hari Raya, dan mendirikan solat sunat Aidilfitri.

"Kemudian, ketua keluarga disunatkan membaca khutbah khas Hari Raya Aidilfitri yang boleh dimuat turun melalui portal e-masjid.jais.gov.my," katanya.

Beliau berkata, ahli keluarga boleh meneruskan aktiviti jalinan silaturahim dan bermaaf-maafan bersama ahli keluarga yang lain di kediaman masing-masing sahaja.

Berita Harian X