Khamis, 21 Mei 2020 | 10:10am

Pasang 700 pelita Aidilfitri PKP

JITRA: Sambutan Aidilfitri tahun ini walaupun kurang meriah, sekumpulan pemuda di Kampung Pida 7, Jerlun, bersepakat memasang 700 pelita bagi memeriahkan suasana.

Seramai 20 pemuda mengambil inisiatif memasang pelita tradisi menggunakan minyak tanah bagi menyambut minggu terakhir Ramadan dan malam tujuh likur.

Wakil penduduk, Mohd Husaini Ishak, 28, berkata tradisi pelita itu dilakukan sejak lebih 30 tahun dan terus dipertahankan sehingga hari ini.

Katanya, sebaik kerajaan memberi kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dia bersama rakan mula merancang meneruskan tradisi memasang pelita di sekeliling kampung.

"Kami bergotong-royong menyusun pelita membentuk perkataan 'Selamat Hari Raya' dan ditambah perkataan 'PKP' supaya orang ramai sedar kita masih berada dalam keadaan berjaga-jaga dalam mengharungi wabak COVID-19.

"Lebih 700 pelita diguna membentuk dekorasi menarik dan ditambah kilauan lampu warna-warni menghiasi pintu gerbang masuk ke kampung ini," katanya ketika ditemui di sini, malam tadi.

Mohd Husaini berkata, dia bersama rakan mengambil masa tiga hari untuk menyusun pelita berkenaan kerana bukan mudah melakukannya jika tiada perancangan awal.

"Kami akan menyalakan pelita ini selama lima hari sehingga malam Aidilfitri dan orang ramai yang tinggal berdekatan boleh datang mengambil gambar pada waktu malam.

"Pelita akan dipasang mulai selepas berbuka puasa sehingga jam 1 pagi sahaja," katanya.

Mohd Husaini berkata, mereka membuat kutipan RM20 seorang bagi membeli minyak tanah dan menggunakan pelita sedia ada.

Bagi Mohd Al Hafiz Ali, 26, aktiviti ini kebiasaan dilakukan pada malam tujuh terakhir menjelang 1 Syawal setiap tahun.

Namun katanya, kali ini ramai yang tidak dapat pulang ke kampung disebabkan COVID-19 tetapi mereka yang berada di kampung tetap menyambutnya dalam keadaan sederhana.

"Sebelum ini kami pasang pelita di sepanjang jalan bagi menyambut penduduk yang bekerja di luar negeri, tetapi kali ini jumlah pelita tidak banyak cukup bagi kami merasa kemeriahannya sahaja.

"Tradisi memasang pelita perlu diteruskan bertujuan mengeratkan lagi hubungan golongan muda dan tua di kampung ini," katanya.

Mohd Hafzanizam Ishak, 16, pula berkata dia akan meneruskan tradisi itu sebagai kesinambungan bagi generasi akan datang.

"Daripada duduk di rumah dan tidak tahu buat apa, saya ikut rakan pasang pelita dan ia cukup memeriahkan suasana.

"Setiap petang saya akan datang sini untuk membantu orang kampung memasukkan minyak tanah dan selepas berbuka puasa kami datang semula untuk menyalakan api pelita," katanya.

Azlin Syazlan Abdul Ghafar,10, (depan) bersama rakannya Mohamad Anas Syauki Saiful,8, membetulkan pelita yang dipasang secara bergotong-royong oleh sekumpulan anak muda di pintu masuk ke Kampung Pida 7, Jerlun bagi memeriahkan suasana hari raya. - Foto NSTP/Amran Hamid
Azlin Syazlan Abdul Ghafar,10, (depan) bersama rakannya Mohamad Anas Syauki Saiful,8, membetulkan pelita yang dipasang secara bergotong-royong oleh sekumpulan anak muda di pintu masuk ke Kampung Pida 7, Jerlun bagi memeriahkan suasana hari raya. - Foto NSTP/Amran Hamid
Berita Harian X