Khamis, 21 Mei 2020 | 12:03pm

Senarai barang SHMMP ikut penilaian pasaran semasa

SHAH ALAM: Ketetapan barang yang dipilih untuk dikenakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi Aidilfitri, Pesta Keamatan dan Hari Gawai bergantung pada penilaian pasaran semasa.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, berkata kementerian itu mengumpul data harga barang sejak 2009 dan melihat kenaikan serta penurunan menerusi data berkenaan.

"Apabila kita dapati turun naik itu tidak dalam julat yang besar atau melampau, kita merasakan bahawa tiada tekanan terhadap harga dalam tempoh masa yang ditetapkan.

"Walaupun KPDNHEP hanya menyenaraikan 11 barang di bawah SHMMP kali ini, kita memantau harga lebih 30 barang untuk memastikan ia berada dalam kawalan," katanya kepada pemberita ketika Lawatan Pelaksanaan SHMMP di Pasar Seksyen 6 di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Penguat kuasa (Pencegahan) KPDNHEP, Azman Adam dan Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah.

Hasnol berkata, kementerian itu boleh memasukkan senarai barang baharu sekiranya terdapat jangkaan harganya akan naik kerana matlamat KPDNHEP ialah harga harus berada dalam julat yang dibenarkan.

Katanya, terdapat banyak faktor yang mendorong kenaikan serta penurunan harga barang seperti cuaca, import dan eksport serta wabak.

Sementara itu, beliau memaklumkan sepanjang tempoh dua hari penguatkuasaan SHMMP, lebih 2,400 premis perniagaan diperiksa di seluruh negara, termasuk pasar basah.

"Setakat semalam, hanya satu kes direkodkan membabitkan penjual ayam di Kuala Lumpur yang menjual ayam pada harga yang tinggi iaitu RM9 sekilogram.

"Peniaga itu dikenakan kompaun berjumlah RM2,500 dan diberikan tempoh 14 hari untuk menyelesaikan kompaun berkenaan," katanya.

Selain itu, ketika sesi melawat Pasar Seksyen 6, Hasnol memaklumkan semua peniaga dilihat mematuhi harga yang ditetapkan terutamanya ayam yang dijual pada harga RM7.50 sekilogram.

Orang ramai beratur serta membeli barang keperluan di Pasar Awam Seksyen 6, Shah Alam sempena menyambut Aidilfitri tidak lama lagi. NSTP/MUHD ASYRAF SAWAL
Orang ramai beratur serta membeli barang keperluan di Pasar Awam Seksyen 6, Shah Alam sempena menyambut Aidilfitri tidak lama lagi. NSTP/MUHD ASYRAF SAWAL
Berita Harian X