X
Jumaat, 22 Mei 2020 | 12:14pm

'Nak lemang, hon 3 kali...'

JOHOR BAHRU: Kaedah kreatif seorang peniaga kecil di Johor Jaya, di sini, mempromosikan jualan lemang dengan menampal poster di belakang keretanya, membuahkan hasil selepas jualannya meningkat.

Dengan notis ayat ringkas 'Nak lemang, sila hon tiga kali, kita parking tepi, kalau segan Whatsaap/Call 016-2362565' itu berjaya menarik perhatian pengguna jalan raya apabila Mohd Noh Shamsuddin, 31, memulakan jualan lemang dari keretanya sejak 10 hari lalu.

Mohd Noh yang juga pemandu van beras itu, terpaksa mencari ikhtiar menjual lemang dengan kaedah berkenaan selepas 'dicutikan' sementara daripada pekerjaannya itu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menyebabkan pendapatan keluarganya terjejas.

"Alhamdulillah, saya tolak perasaan segan dan malu dengan menjual lemang dihasilkan rakan dengan menampal poster di belakang kereta sebelum berpusing di sekitar bandar raya bagi mendapatkan pelanggan.

Mohd Noh Shamsuddin menampal poster di belakang kenderannya dengan notis 'nak lemang sila hon 3 kali', sebagai kaedah promosinya - foto NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Mohd Noh Shamsuddin menampal poster di belakang kenderannya dengan notis 'nak lemang sila hon 3 kali', sebagai kaedah promosinya - foto NSTP/Mohd Azren Jamaludin

"Pelanggan yang mahu lemang yang dijual akan membunyikan hon tiga kali sebelum saya mencari kawasan selamat untuk parkir kereta bagi membolehkan mereka membeli dan memilih lemang, rendang dan serunding yang dibawa.

"Walaupun ada juga pemandu nakal yang membunyikan hon tiga kali namun mereka tidak berhenti dan sebaliknya hanya ketawa, masih ramai yang memberi sokongan dan membeli lemang dibawa.

"Pada hari pertama saya hanya membawa 10 batang lemang sebagai percubaan, namun selepas sambutan menggalakkan saya kini membawa antara 50 hingga 100 lemang sehari bagi dijual dengan cara begini, " katanya ketika ditemui, hari ini.

Mohd Noh berkata, beliau biasanya akan mula membawa lemang untuk dijual mulai jam 1 petang hingga waktu berbuka puasa.

Katanya, beliau sebelum ini buntu bagi mencari wang menyara isteri dan dua anaknya apatah lagi menjelang Aidilfitri, namun mendapat idea menjual lemang dengan kaedah itu selepas melihat cara sama digunakan penjual air nira di Perak, ketika melayari internet.

Mohd Noh Shamsuddin membakar lemang bersama rakannya sebelum dijual - Foto NSTP/Azren Jamaludin
Mohd Noh Shamsuddin membakar lemang bersama rakannya sebelum dijual - Foto NSTP/Azren Jamaludin

"Saya berbincang dengan seorang rakan dari Perak yang menetap di sini, bagi menjual lemang berikutan lemang yang dihasilkannya amat enak.

"Alhamdulillah, percubaan pertama kami bekerjasama mencari rezeki dengan cara beliau membuat lemang dan saya memasarkannya dari kereta berhasil dan tular, " katanya.

Beliau berkata, berkat poster yang ditampal di belakang keretanya juga menyebabkan tempahan orang ramai yang melihat iklan ringkas itu semakin meningkat bagi dijadikan juadah berbuka dan Aidilfitri ini.

"Saya juga menghantar lemang yang ditempah pelanggan yang berharga antara RM14 hingga RM20 itu bergantung pada saiznya sehingga ke Senai dan akan menjualnya sehingga 10 Syawal nanti, " katanya.

Mohd Noh Shamsuddin (kiri) menyusun lemang ke dalam keretanya untuk dijual kepada pelanggan - Foto NSTP/Azren Jamaludin
Mohd Noh Shamsuddin (kiri) menyusun lemang ke dalam keretanya untuk dijual kepada pelanggan - Foto NSTP/Azren Jamaludin
Berita Harian X