X
Sabtu, 23 Mei 2020 | 12:20pm
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari meninjau dan beramah mesra dengan pembeli serta peniaga di Pasar Segar Terkawal (PST) di Tapak Pasar Tani Seksyen 13. - Foto NSTP/Ruwaida Md Zain
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari meninjau dan beramah mesra dengan pembeli serta peniaga di Pasar Segar Terkawal (PST) di Tapak Pasar Tani Seksyen 13. - Foto NSTP/Ruwaida Md Zain

Beratur dalam kereta di Pasar Segar Terkawal

SHAH ALAM: Kaedah beratur di dalam kenderaan untuk membeli keperluan akhir bagi persiapan Aidilfitri di Pasar Segar Terkawal (PST) di Tapak Pasar Tani Seksyen 13 di sini membantu orang awam mengekalkan penjarakan sosial.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata meskipun ada rungutan dalam kalangan pembeli terpaksa beratur panjang, ia tidak begitu membebankan.

"Ada rungutan terpaksa beratur panjang tetapi kali ini mereka beratur di dalam kereta, jadi tidak seteruk beratur dalam keadaan berdiri di tapak pasar.

"Saya juga lihat pasar agak padat tetapi usaha ini dapat mengurangkan sedikit tekanan kawasan pasar, sekali gus akan mengekang penularan COVID-19.

"Tambahan pula kebelakangan ini terdapat beberapa kes merebak di pasar, bukan hendak menakutkan orang ke pasar, tetapi kita perlu lebih berhati-hati," katanya ketika ditemui selepas meninjau Selangor Agro Market @ Pasar Segar Terkawal Khas Aidilfitri di sini, hari ini.

Amirudin berkata, bazar beroperasi selama dua hari bermula semalam itu memberi peluang kepada penduduk sekitar bandar raya ini terutama membeli keperluan persiapan Aidilfitri esok.

"Selain lokasi di sini, kita ada banyak lagi lokaliti lain seumpamanya yang beroperasi sejak 24 Mac lalu seperti di Tanjung Karang dan Puchong.

"Sebelum ini, kita ada 17 lokaliti tetapi memandangkan ia persiapan hari raya, ada sebahagian tempat, kita benarkan walk in tetapi di sini pandu lalu sahaja supaya penjarakan fizikal dapat dikekal dan keperluan dapat disediakan.

"Ia menjadi pilihan kerana saya percaya 20 peratus kurang berbanding harga pasaran. Contohnya ayam, kalau harga pasaran RM7.90 tetapi di sini sekitar RM7.20," katanya.

PST turut dijalankan selama dua hari di Laman Niaga Komuniti Bandar Baru Bangi, Tapak Pasar Tani Kelana Jaya, Pusat Operasi FAMA Dengkil, Pusat Operasi FAMA Puchong dan Tapak Pasar Tani Saujana Utama Kuala Selangor.

Berita Harian X