Ahad, 24 Mei 2020 | 1:34pm
Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob (kanan) dan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin (kiri) melawat anggota polis yang bertugas di Aidilfitri di IPD Kota Setar.NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI
Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob (kanan) dan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin (kiri) melawat anggota polis yang bertugas di Aidilfitri di IPD Kota Setar.NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI

PGA awasi pintu keselamatan Malaysia-Thailand

ALOR SETAR: Polis Kedah menyerah tugas sepenuhnya kepada Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk menjaga pagar keselamatan Malaysia-Thailand sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob, berkata sebelum ini PGA turut membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjaga pagar keselamatan Malaysia-Thailand, tetapi ditarik balik.

Zainuddin berkata, setakat ini pintu sempadan masih ditutup dan PGA diberi tugas sepenuhnya menjaga pagar sempadan berkenaan mengelak kemasukan rakyat asing.

Katanya selain itu, pemeriksaan dan sekatan jalan raya di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Keselamatan (ICQS) yang dilakukan PDRM turut disertai agensi yang lain bagi membantu mencegah aktiviti penyeludupan di sempadan negara.

"Memang tak dinafikan ada yang cuba nak masuk melalui lubang tikus tapi kawalan ketat pihak berkuasa di sana (sempadan) agak susah untuk dibolosi.

"Walaupun ketika musim perayaan Aidilfitri ini pun pihak berkuasa kawal ketat untuk memastikan lubang tikus selamat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan dan lawatan anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar (IPD) sempena Aidilfitri, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin.

Dalam pada itu, Zainuddin berkata, pihaknya turut mengadakan 22 sekatan jalan termasuk di pintu masuk sempadan negeri ini, jalan persekutuan dan Lebuhraya Utara Selatan untuk memastikan tidak ada yang merentas negeri ketika Aidilfitri.

Beliau berkata, setakat ini hanya satu kes diambil tindakan iaitu di kawasan Yan apabila ada individu yang ditahan kerana cuba merentas negeri.

"Pasukan pemantau kita juga masih melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah untuk memastikan tidak ada yang curi rentas negeri pulang ke kampung.

"Ini bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19 ketika waktu perayaan ke negeri ini," katanya.

Terdahulu, Zainuddin turut melawat barisan hadapan yang bertugas di sekatan jalan raya di beberapa kawasan di negeri.

Berita Harian X