Isnin, 25 Mei 2020 | 12:59pm
 Lima mangsa rentung dalam kebakaran di Kampung Binsuluk, Membakut, semalam. NSTP/ JUWAN RIDUAN
Lima mangsa rentung dalam kebakaran di Kampung Binsuluk, Membakut, semalam. NSTP/ JUWAN RIDUAN

Api dipercayai bermula dari dapur

BEAUFORT: Kebakaran sebuah rumah di Kampung Binsuluk, Membakut, sini, awal pagi semalam dipercayai bermula dari dapur sebelum merebak memusnahkan rumah berkenaan dan mengorbankan lima beranak.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak, berkata menurut pemilik rumah berkenaan Othman Ali, 64, api bermula dari arah dapur rumah.

"Ketika Othman sedang tidur di pejabatnya dalam rumah berkenaan, dia dikejutkan oleh jeritan anaknya sebelum keluar dari bilik dan melihat api sudah marak.

"Api bermula dari dapur rumah berkenaan sebelum merebak. Othman tidak sempat menyelamatkan isteri dan anaknya yang lain yang terperangkap dalam kebakaran berkenaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba yang menerima maklumat, bertindak mengawal kebakaran dan pemeriksaan menemui lima mayat yang rentung iaitu mayat isteri dan empat anak pemilik rumah berkenaan.

"Siasatan awal mendapati mangsa seramai lima orang terperangkap di dalam rumah yang diperbuat daripada kayu dan empat orang berjaya keluar dari rumah.

"Dua penghuni yang cedera mendapat rawatan di Zon Kuning Hospital Kuala Penyu," katanya.

Azmir berkata, mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu untuk bedah siasat yang akan dijalankan pada 27 Mei ini.

Terdahulu, Aishah Awang Jumat, 58, bersama empat anak lelakinya iaitu Dzulkarnain Othman, 34, Dzulnisham, 27, Rozaini, 26 dan Rosdi, 24 ditemui rentung dalam kejadian pagi tadi.

Bomba dilaporkan menerima panggilan pada 2.54 pagi sebelum kebakaran berkenaan dikawal pada 5 pagi.

Berita Harian X