Isnin, 25 Mei 2020 | 7:39pm

Pasar raya diarah tutup, terlalu ramai pengunjung

JOHOR BAHRU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan sebuah pasar raya terkenal di Taman Desa Tebrau, di sini, ditutup seminggu mulai hari ini sehingga 1 Jun depan.

Notis arahan penutupan premis yang dikeluarkan KKM hari ini, viral di media sosial sejak petang tadi.

Notis berkenaan antara lain memaparkan arahan penutupan premis berkenaan dibuat mengikut Subseksyen 18(1)(f), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bermula dari jam 4 petang 25 Mei 2020 sehingga 1 Jun 2020.

Ia bertujuan menjalankan kerja mencegah bermulanya atau merebaknya sesuatu penyakit berjangkit.

Netizen mendakwa arahan penutupan pasar raya terkenal itu berikutan ia dikunjungi terlalu ramai pengunjung sehingga menyebabkan kawalan selain penjarakan sosial sukar dilakukan dengan berkesan.

Sementara itu, jurucakap pasar raya berkenaan yang dihubungi mengesahkan arahan penutupan premis berkenaan mulai hari ini yang dikeluarkan KKM.

"Kami menafikan segelintir dakwaan yang menyatakan berlaku jangkitan COVID-19 di premis ini.

"Arahan penutupan dikeluarkan KKM berikutan terlalu ramai pengunjung datang ke premis sekali gus prosedur operasi standard (SOP) termasuk penjarakan sosial sukar dilaksanakan, " katanya.

Berita Harian X