Rabu, 27 Mei 2020 | 5:36pm
Seorang anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kluang menunjukkan harga ikan kembung melebihi harga maksimum di sebuah kedai runcit di Taman Sri Impian, Kluang. - Foto Adnan Ibrahim
Seorang anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kluang menunjukkan harga ikan kembung melebihi harga maksimum di sebuah kedai runcit di Taman Sri Impian, Kluang. - Foto Adnan Ibrahim

Padah kerana tamak, peniaga kena kompaun

KLUANG: Gara-gara ingin mengaut keuntungan lebih, seorang peniaga di Taman Sri Impian, dekat sini dikompaun RM2,500 kerana menjual ikan kembung dengan harga RM20 sekilogram hari ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Kluang, Mohd Zulazre Mokeri berkata, hasil pemeriksaan pada jam 11 pagi tadi, mendapati peniaga berkenaan melanggar Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Aidilfitri yang ditetapkan kerajaan.

Katanya, mengikut SHMMP, ikan kembung sepatutnya dijual dengan harga maksimum RM15 sekilogram namun dijual oleh peniaga berkenaan pada harga RM20 sekilogram.

"Berikutan kesalahan itu, peniaga berkenaan dikenakan kompaun sebanyak RM2,500 mengikut skim kawalan harga yang berkuat kuasa mulai 20 Mei hingga 3 Jun ini.

"Sepanjang pelaksanaan SHMMP sempena Aidilfitri tahun ini, KPDNHEP Kluang sudah mengeluarkan empat kompaun membabitkan bayaran denda sebanyak RM6,500 kerana kesalahan menjual barang kawalan melebihi harga maksimum," katanya ditemui selepas membuat pemeriksaan harga barang kawalan di beberapa kedai runcit di Taman Sri Impian, dekat sini, hari ini.

Beliau juga berkata, pihaknya tidak memandang ringan terhadap sebarang tindakan segelintir sebahagian peniaga di sekitar bandar ini yang dengan sengaja melanggar skim kawalan harga ini.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan peniaga yang menaikkan harga jualan melebihi harga maksimum sepanjang musim SHMMP boleh melakukan aduan di talian 1-800-886-800 atau pejabat KPDNHEP Kluang 07-7736877,"katanya.

Berita Harian X