X
Khamis, 28 Mei 2020 | 10:55am
Kemalangan membabitkan lori tangki minyak diesel dan sebuah van keselamatan di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Behrang, Perak. - Foto Rosman Shamsudin
Kemalangan membabitkan lori tangki minyak diesel dan sebuah van keselamatan di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Behrang, Perak. - Foto Rosman Shamsudin

Tangki diesel pecah, LRA Sungai Selisik henti tugas

SHAH ALAM: Kemalangan lori tangki minyak diesel di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Behrang, Perak tengah hari semalam menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selisik terpaksa dihenti tugas jam 11.45 malam tadi.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam kenyataan memaklumkan kemalangan yang membabitkan pelanggaran di antara lori tangki minyak diesel dan sebuah van keselamatan itu menyebabkan tangki muatan diesel lori berkenaan pecah.

"Hasil siasatan mendapati kemalangan itu menyebabkan tumpahan sisa minyak diesel ke kawasan lebuh raya sehingga ke Sungai Siah, Perak.

"Sehubungan itu, LUAS mengaktifkan Kod Kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh di kawasan terbabit yang berisiko menyebabkan henti tugas LRA Sungai Selisik pada jarak 2.7 kilometer (km) di bahagian hilir.

"LUAS mengambil tindakan pantas dengan memasang 'oil-boom' di kawasan aliran yang terjejas bagi mengawal baki aliran minyak daripada mengalir ke dalam Sungai Bernam," katanya.

LUAS memaklumkan, siasatan menyeluruh serta pensampelan sudah dijalankan oleh pihaknya bersama AIR Selangor bermula di sebuah kawasan ladang kelapa sawit berhampiran lokasi kejadian sehingga ke kawasan Sungai Kelawar dan seterusnya Sungai Bernam.

Jelasnya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak juga sudah melantik kontraktor bagi kerja penyedutan baki sisa minyak di kawasan yang bertakung berhampiran lebuh raya.

"Kerja-kerja penyedutan baki sisa minyak terpaksa dihentikan buat sementara waktu sekitar jam 4.50 pagi berikutan keadaan kawasan yang gelap dan sukar untuk melakukan kerja- kerja penyedutan dan pembersihan.

"Pihak LUAS, JAS Perak dan PLUS akan memantau dan melaksanakan susulan terhadap kerja-kerja penyedutan baki sisa minyak itu," katanya.

Berita Harian X