Khamis, 28 Mei 2020 | 11:41am
Mohd Zulkifle Nordin, 24, menaip menggunakan kaki kerana dilahirkan tidak ada kedua-dua tangan ketika bekerja di Pusat Khidmat DUN Paloh, di Bandar Chiku Gua Musang. -Foto NSTP/Ramli Ibrahim
Mohd Zulkifle Nordin, 24, menaip menggunakan kaki kerana dilahirkan tidak ada kedua-dua tangan ketika bekerja di Pusat Khidmat DUN Paloh, di Bandar Chiku Gua Musang. -Foto NSTP/Ramli Ibrahim

Menaip mengguna kaki

GUA MUSANG: Biarpun fizikalnya cacat kerana dilahirkan tidak ada kedua-dua tangan, anak muda Orang Kurang Upaya (OKU) ini mampu menaip menggunakan kaki lebih pantas daripada orang normal.

Mohd Zulkifle Nordin, 24, berkerja sebagai Pengurus Teknologi Maklumat (ICT) di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, di sini, ternyata tidak ada kekurangan ditunjukkan dalam dirinya.

Malah, anak muda ini cekal hadapi ujian Tuhan dengan membuktikan ilmu yang ada boleh bersaing dengan mereka sebaya usianya untuk melakukan sebarang pekerjaan.

Mohd Zulkifle yang memiliki ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hartanah Universiti Teklonogi Mara (UiTM) Seri Iskandar Perak, berkata pernah menganggur empat bulan sebelum bekerja di Pusat Khidmat DUN Paloh, Januari lalu.

"Saya tamat pengajian di UiTM itu Ogos tahun lalu dan mendapat tawaran bekerja sebagai Pengurus ICT di DUN Paloh tanpa ada sebarang halangan," katanya yang tinggal di Felda Aring 1.

Ketika ditemui di Pusat Khidmat DUN Paloh, di Bandar Chiku, di sini, hari ini, Mohd Zulkifle mengakui lebih selesa bekerja di pusat khidmat DUN itu.

Katanya, walaupun mempunyai kelulusan dalam bidang hartanah, disebabkan ada kebolehan dalam bidang ICT dia dapat melakukan sebarang tugas diamanahkan.

"Bagi saya sudah menjadi perkara biasa menulis, menaip dan suap makanan menggunakan kaki kerana Tuhan memberikan kelahiran saya tanpa ada kedua-dua tangan.

"Saya juga tidak pernah menyesal dilahirkan demikian dan berusaha untuk menjadikan manusia yang berjaya di dunia dan akhirat," katanya.

Dia juga mengakui, kerumitan sikit dalam hidupnya hanya kerana tidak boleh menunggang motosikal atau memandu kereta untuk ke tempat kerja setiap hari kerana tiada tangan.

Anak ketujuh daripada lapan beradik ini, berkata setiap hari terpaksa dibantu bapanya untuk menghantar dan mengambilnya ke tempat kerja.

Sementara itu, Penyelia DUN Paloh, Azman Ahmad, berkata Mohd Zulkifle diambil bekerja di pejabatnya kerana ada kelebihan dalam ICT.

"Di Kelantan mempunyai 45 DUN, tetapi hanya DUN Paloh yang mengambil seorang pekerja OKU kerana dia mampu menjalankan kerja dalam bidang itu,"katanya.

Berita Harian X