Khamis, 28 Mei 2020 | 11:45am
Polis menahan tujuh remaja lelaki termasuk seorang pelajar Tingkatan Satu yang berkumpul di sebuah stesen minyak dekat Penaga, Kepala Batas. NSTP/ Ihsan Pembaca
Polis menahan tujuh remaja lelaki termasuk seorang pelajar Tingkatan Satu yang berkumpul di sebuah stesen minyak dekat Penaga, Kepala Batas. NSTP/ Ihsan Pembaca

PKPB: 22 remaja dikompaun

KEPALA BATAS: Polis mengeluarkan kompaun terhadap 22 remaja lelaki termasuk seorang pelajar Tingkatan Satu kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam pemantauan Op COVID-19 yang diadakan di dua lokasi berbeza di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata pemantauan yang dijalankan di Taman Teratai Indah mendapati sekumpulan remaja terdiri 15 lelaki berusia 17 hingga 22 berkumpul dan bermain bola keranjang.

"Pemantauan di kawasan itu diadakan pada jam 6 petang semalam dan menemui sekumpulan remaja yang bermain bola keranjang tanpa memikirkan bahaya kemerebakan wabak COVID-19.

"Bahkan perbuatan itu juga didapati gagal mematuhi PKPB iaitu larangan untuk beriadah dan memaksa polis menahan mereka di bawa ke Balai Polis Mak Mandin sebelum mengeluarkan kompaun kepada mereka semua," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Noorzainy berkata, seramai tujuh remaja lelaki berusia 13 hingga 24 tahun ditahan kerana menunggang motosikal beramai-ramai dan berkumpul di sebuah stesen minyak dekat Penaga, di sini pada jam 6.40 petang semalam.

"Kesemua remaja termasuk seorang pelajar Tingkatan Satu itu kemudian dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai (IPD) Seberang Perai Utara untuk tindakan lanjut.

"Sebaik siasatan dilakukan, tujuh remaja ini dikenakan kompaun," katanya.

Kompaun RM1,000 itu dikeluarkan selaras Akta 342 dibawah Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Noorzainy menasihatkan ibu bapa supaya memantau pergerakan anak masing-masing supaya patuh pada PKPB dalam memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.

Berita Harian X