Khamis, 28 Mei 2020 | 12:17pm

Kompleks ICQS Padang Besar dikawal ketat

PADANG BESAR: Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar kini diletakkan di bawah kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) susulan penutupannya semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara, Supritendan Abd Razak Md Din, berkata lokasi itu dikawal ketat pasukan keselamatan sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

"Pihak kami mengawal ICQS menerusi tiga syif dengan kekuatan anggota seramai sembilan orang.

"Pasukan PGA juga akan dikerahkan bagi mengawal keselamatan harta benda dengan melakukan rondaan di sekitar Kompleks ICQS daripada dicerobohi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, tinjauan BH di sekitar Kompleks ICQS Padang Besar mendapati pintu masuk ke perkarangan kompleks berkenaan ditutup dan dikawal ketat oleh PGA.

Namun kira-kira jam 10.15 pagi tadi, tiga jentera JBPM terdiri daripada Fire Rescue Tender (FRT), jentera pengangkut dan kenderaan pacuan empat roda dilihat masuk ke perkarangan kompleks.

Seramai 12 pegawai dan anggota JBPM lengkap mengenakan sut peralatan perlindungan diri (PPE) dilihat memulakan proses sanitasi bermula di pintu masuk berdekatan bulatan Padang Besar sebelum bergerak masuk ke perkarangan kompleks.

Kompleks ICQS Padang Besar ditutup bermula semalam berikutan enam warga Thailand yang melaluinya untuk kembali ke negara asal pada 27 Mei lalu disahkan positif COVID-19.

Arahan penutupannya dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pengerusi Jawatankuasa Hubungan dan Kerjasama Sempadan negeri, Ruzaini Rais dipetik berkata seramai 34 petugas di ICQS berkenaan membabitkan kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia diarah menjalani kuarantin 14 hari atas faktor keselamatan.

Kompleks Imigresen,Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Padang Besar ditutup berikutan enam warga Thailand yang melaluinya untuk kembali ke negara asal mereka disahkan positif COVID-19. NSTP/AMRAN HAMID
Kompleks Imigresen,Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Padang Besar ditutup berikutan enam warga Thailand yang melaluinya untuk kembali ke negara asal mereka disahkan positif COVID-19. NSTP/AMRAN HAMID
Berita Harian X