X
Khamis, 28 Mei 2020 | 12:28pm

Peniaga dikompaun RM10,000 jual pelitup muka mahal

KOTA TINGGI: Seorang peniaga di Kota Tinggi dikompaun sebanyak RM10,000 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Kota Tinggi kerana menjual pelitup muka tiga lapisan, melebihi harga kawalan ditetapkan kerajaan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDNHEP Kota Tinggi, Rasul Ismail, berkata tindakan diambil selepas mendapat aduan daripada orang ramai mengenai penjualan pelitup muka tiga lapisan pada harga RM2.00 seunit.

Katanya, sedangkan harga kawalan ditetapkan oleh Kerajaan ialah pada RM1.50 seunit.

"Kompaun serta merta telah dikeluarkan kepada peniaga berkenaan manakala semua topeng muka itu disita dan disiasat d bawah Sek.11, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).

"Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pihak kami telah mengambil sembilan tindakan kes di mana tujuh kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) dan dua kesalahan Akta Perlindungan Pengguna 1999 (APP 1999).

"Tujuh kes di bawah AKHAP 2011 telah dikompaun masing-masing sebanyak RM1,000 kerana kesalahan tidak meletakkan tanda harga pada barang kawalan dan menjual barangan melebihi harga yang dikawal.

"Dua lagi kes masih dalam siasatan berkaitan memberikan maklumat yang mengelirukan berkaitan harga dan disiasat di bawah Akta Perlindungan Pengguna (APP 1999)," katanya dalam satu kenyataan media.

Rasul berkata, dalam tempoh Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa yang bermula pada 20 Mei lalu hingga 3 Jun ini, pemeriksaan telah dijalankan lebih kerap bagi membendung kenaikan harga yang tidak munasabah.

Berita Harian X