Khamis, 28 Mei 2020 | 12:29pm
Seramai lapan individu dikompaun RM1,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan didapati melepak tanpa tujuan di Pantai Lido, di sini, petang semalam. NSTP/ IHSAN PDRM
Seramai lapan individu dikompaun RM1,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan didapati melepak tanpa tujuan di Pantai Lido, di sini, petang semalam. NSTP/ IHSAN PDRM

PKPB: 8 dikompaun lepak di Pantai Lido

JOHOR BAHRU: Seramai lapan individu dikompaun RM1,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan didapati melepak tanpa tujuan di Pantai Lido, di sini, petang semalam.

Dalam pemeriksaan kira-kira jam 6.30 petang itu, tindakan ke atas lapan individu itu diambil oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) yang menjalankan pemantauan di kawasan Jalan Pantai Lido menghala ke Skudai.

Ketua Polis Daerah JBS, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain, berkata polis menjalankan pemeriksaan terhadap sekumpulan lelaki yang meletakkan lapan buah kereta di bahu jalan berkenaan sebelum melepak di tepi pantai.

"Hasil siasatan awal mendapati kesemua mereka gagal memberi alasan yang munasabah tujuan berhimpun sekali gus berada di kawasan awam di Pantai Lido.

"Mereka mengaku hanya bersiar-siar dan memberi alasan duduk lepak di tepi pantai berkenaan mengambil angin.

"Kesemua mereka ditahan dan dibawa ke IPD JBS bagi tujuan dikompaun kerana gagal mematuhi arahan PKPB," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Padzli berkata, kesemua lapan individu berkenaan dikompaun mengikut kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).

"Selepas selesai urusan kompaun, kesemua OKK (Orang Kena Kompaun) diarahkan pulang ke rumah masing-masing," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP yang digariskan dalam PKPB.

Polis juga akan mempertingkatkan rondaan dan pemantauan di kawasan taman rekreasi dan lokasi tumpuan orang ramai dalam daerah JBS bagi mengelak perhimpunan demi memutuskan rantaian COVID-19.

Berita Harian X