Khamis, 28 Mei 2020 | 1:17pm
Polis mengadakan pemeriksaan ke atas 11 individu yang didapati berhimpun dan melepak sambil menikmati pemandangan laut di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB). NSTP/ Ihsan PDRM
Polis mengadakan pemeriksaan ke atas 11 individu yang didapati berhimpun dan melepak sambil menikmati pemandangan laut di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB). NSTP/ Ihsan PDRM

PKPB: Dikompaun kerana melepak

BUTTERWORTH: Melepakl sambil menikmati pemandangan laut membawa padah bagi 11 individu di sini apabila mereka ditahan polis kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKBP), malam tadi.

Mereka ditahan di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (LLB), di sini, selepas polis menerima laporan dan aduan daripada pengguna lebuh raya berkenaan.

Kesemua mereka yang terdiri daripada sembilan lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 19 hingga 27 tahun, dibawa ke Balai Polis Butterworth untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisinoner Noorzainy Mohd Noor, berkata polis mengadakan operasi di kawasan itu antara jam 8 hingga 10.45 malam bagi melihat kepatuhan orang awam.

"Bagaimanapun, terdapat lagi individu masih berdegil apabila mereka melepak dan berbual seolah-olah tidak apa berlaku tetapi perbuatan mereka itu salah.

"Justeru, polis menahan kesemua mereka terdiri dari 11 individu dan mengeluarkan kompaun kerana ingkar pada PKPB," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

"Orang awam diminta dapat terus menyalurkan maklumat jika ternampak mereka yang

tidak patuh dan menjalankan aktiviti terlarang.

"Kerjasama ini dapat sama-sama membantu memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 dan terus mengekalkan Daerah Seberang Perai Utara dalam zon hijau," katanya.

Kesemua 11 individu itu dikompaun RM1,000 mengikut Akta 342 dibawah Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Berita Harian X