Khamis, 28 Mei 2020 | 3:00pm
EMPAT remaja perempuan berdepan detik cemas apabila hampir lemas selepas kereta dinaiki terjunam ke dalam tali air di di Kampung Teluk Sena, Kampung Gajah dekat Bota. Gambar kecil, Muhammad Nor Imran Maula Abd Jalil. - Foto ihsan pembaca
EMPAT remaja perempuan berdepan detik cemas apabila hampir lemas selepas kereta dinaiki terjunam ke dalam tali air di di Kampung Teluk Sena, Kampung Gajah dekat Bota. Gambar kecil, Muhammad Nor Imran Maula Abd Jalil. - Foto ihsan pembaca

Gadai nyawa selamatkan empat remaja hampir lemas

KAMPUNG GAJAH: "Saya terkejut dan sudah menjangka pasti ada musibah berlaku kepada remaja perempuan yang dalam keadaan basah kuyup yang cuba menahan kereta saya untuk meminta bantuan," kata guru, Muhammad Nor Imran Maula Abd Jalil, 31.

Guru Sekolah Rendah Agama Rakyat Muhammadiah Parit 25 Baroh Tanjung Bayan, Hutan Melintang itu individu yang menyelamatkan empat remaja perempuan berusia 18 tahun yang hampir lemas dan dihanyutkan arus, selepas kereta dinaiki mereka bersama seorang lagi rakan hilang kawalan, sebelum terbabas ke dalam tali air di Kampung Teluk Sena, Kampung Gajah dekat Bota, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12.05 tengah hari itu, seorang mangsa berjaya menyelamatkan diri dan meminta bantuan dengan menahan kereta yang dipandu Muhammad Nor Imran pada 12.20 tengah hari.

Muhammad Nor Imran berkata, ketika itu dia dalam perjalanan pulang ke Hutan Melintang dan terkejut melihat seorang remaja perempuan dalam keadaan basah kuyup dan cemas menahan keretanya.

"Melihat keadaan dirinya saya sudah dapat mengagak pasti ada musibah yang berlaku dan terus berhenti, sebelum dimaklumkan kejadian itu.

"Tanpa berfikir panjang saya terus ke tepi tebing dan melihat dua mangsa sudah dibawa arus agak jauh, malah seorang sudah tidak sedarkan diri, manakala dua lagi sedang berpaut pada kayu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, tanpa berlengah dia terus terjun ke dalam tali air dan menyelamatkan dua remaja perempuan yang sedang bergelut dengan arus, sebelum berenang semula untuk menyelamatkan dua lagi rakan mereka.

"Air di tali air itu dalam dan ketika itu juga arus agak kuat. Tidak lama selepas itu ada pasangan suami isteri turut membantu memberi bantuan penafasan kepada mangsa.

"Ketika itu saya memang tak fikir panjang. Hanya ingat nyawa mangsa saja dan mahu segera menyelamatkan mereka. Malah penat berenang juga tidak terasa ketika itu," katanya.

Beliau berkata, selepas semua mangsa berjaya diselamatkan dan berada di tebing, baru dia terasa penat namun mengakui penatnya berbaloi melihat lima remaja itu dalam keadaan selamat.

"Semua mangsa kelihatan penat dan trauma, namun saya bersyukur mereka semua selamat serta dapat membantu kerana jarak tebing dengan jalan agak tinggi dan menyukarkan pengguna jalan raya perasan kejadian itu.

"Biarpun saya tidak mengenali mereka, namun sudah menjadi tangungjawab untuk membantu mereka yang dalam kesusahan," katanya yang memaklumkan semua mangsa sudah dibawa ke hospital oleh keluarga masing-masing.

Video guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) itu yang menyelamatkan mangsa terbabit tular di laman sosial.

Berita Harian X