Jumaat, 29 Mei 2020 | 2:29pm
Sejumlah 1,200 angka giliran sehari diagihkan kepada orang ramai yang mahu berurusan di JPJ Johor berikutan pelaksanaan SOP PKPB menyebabkan petugas terpaksa mengawal ketat kemasukan pelanggan bagi mengelakkan kesesakan di premis berkenaan. NSTP/IHSAN JPJ JOHOR
Sejumlah 1,200 angka giliran sehari diagihkan kepada orang ramai yang mahu berurusan di JPJ Johor berikutan pelaksanaan SOP PKPB menyebabkan petugas terpaksa mengawal ketat kemasukan pelanggan bagi mengelakkan kesesakan di premis berkenaan. NSTP/IHSAN JPJ JOHOR

JPJ Johor sesak

JOHOR BAHRU: Lebih 3,000 pelanggan menyerbu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor di Taman Daya, dekat sini, sejak 18 Mei lalu sekali gus menyebabkan kesesakan berlaku setiap hari.

Pengarah JPJ Negeri Johor, Razali Wagiman, berkata kesesakan yang berlaku menyebabkan pihaknya terpaksa mengetatkan kawalan di pintu pagar utama dengan membenarkan hanya pelanggan memiliki angka giliran memasuki perkarangan agensi berkenaan.

Katanya, orang ramai tidak perlu tergesa-gesa membaharui lesen memandu dan cukai jalan kenderaan berikutan penangguhan diberikan kerajaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuatkuasa.

"Memadai dengan membaharui insurans kenderaan sahaja sepanjang tempoh PKPB dikuatkuasakan dan kelonggaran ini terpakai sehingga dimaklumkan kelak.

"JPJ Johor mengakui daripada lebih 3,000 pelanggan yang hadir, lebih separuh daripada jumlah itu diminta pulang dan kembali pada hari lain berikutan kita hanya mampu memproses sebanyak 1,200 urusan sehari terutama di Bahagian Pelesenan Kenderaan.

"Hanya pelanggan yang memperoleh angka giliran yang prosesnya dibuat secara manual sahaja dibenarkan memasuki perkarangan premis sebelum diperiksa suhu badan dan diarahkan berbaris dengan penjarakan sosial.

"Bagi menyelesaikan kesesakan ini, JPJ Johor juga kini membuka operasi pada Jumaat dan Sabtu bermula jam 8 pagi hingga 1 tengah hari bagi menyelesaikan urusan tertunggak pelanggan.

"Pelanggan turut dinasihatkan ke cawangan JPJ daerah berhampiran bagi menyelesaikan urusan mereka bagi mengelakkan kesesakan dan waktu menunggu lama," katanya ketika dihubungi.

Sejak minggu lalu, orang ramai yang ingin berurusan di JPJ Johor mengeluh dan kecewa apabila diarah pulang selepas angka giliran habis diagihkan sedangkan masih ramai yang menunggu.

Mengulas lanjut, Razali berkata, bagi mengelak kesesakan orang ramai yang mahu memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu juga boleh melakukannya di Pejabat Pos berhampiran atau laman web MyEG.

"Saya berharap orang ramai yang memerlukan khidmat JPJ dapat bertenang dan merancang jadual mereka sebaiknya supaya tidak terperangkap dengan kesesakan di kaunter," katanya.

Berita Harian X