Jumaat, 29 Mei 2020 | 6:38pm
Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim menunjukkan buku cadangan pembinaan Santuari Gajah Perak kepada media selepas taklimat dan cadangan pembinaan pusat pemuliharaan gajah itu di Dewan Mesyuarat Pejabat Tanah dan Daerah Gerik hari ini. - Foto NSTP/Mohd Rashidi Yusuf
Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim menunjukkan buku cadangan pembinaan Santuari Gajah Perak kepada media selepas taklimat dan cadangan pembinaan pusat pemuliharaan gajah itu di Dewan Mesyuarat Pejabat Tanah dan Daerah Gerik hari ini. - Foto NSTP/Mohd Rashidi Yusuf

Santuari gajah baharu atasi konflik gajah, manusia

GERIK: Santuari gajah yang baharu akan dibina di Perak dengan kos kira-kira RM40 juta dalam usaha berterusan memulihara haiwan liar itu, sekali gus menangani konflik antara gajah dan manusia.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, berkata projek itu diluluskan Kementerian Tenaga, Air dan Sumber Asli dengan persetujuan kerajaan negeri.

Katanya pembinaannya akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12, dijangka awal tahun depan di kawasan seluas 40 hektar di Sungai Chermin, Batu 11, Jalan Raya Timur Barat.

Dengan siapnya pembinaan pusat itu nanti, katanya mana-mana gajah liar yang mendatangkan masalah kepada penduduk akan ditempatkan di situ.

"Pusat itu diharap akan menjadi pusat pemuliharaan gajah, sekali gus akan dapat mengurangkan konflik antara haiwan liar itu dengan manusia.

"Sebenarnya, konflik antara gajah dan manusia ini nak kata teruk tidak sangat, tapi ada dan bolehlah kita kata satu dalam 10," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri taklimat dan mesyuarat cadangan pembangunan santuari gajah di Pejabat Tanah dan Daerah Gerik, hari ini.

Abdul Kadir berkata, konsep santuari gajah Perak itu hampir menyamai Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah, Pahang.

Katanya, lokasi pusat pemuliharaan dan asuhan gajah di Perak berhampiran Jalan Raya Timur Barat, lebih mudah untuk dikunjungi pelancong dalam dan luar negara.

Pusat itu nanti akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas seperti rumah pekerja, rumah pengawal, tandas, menara pandang, surau, wakaf, pelantar pelepasan, pusat asuhan, stor makanan, laluan untuk kemudahan pelancong, katanya.

Abdul Kadir berkata, populasi gajah di Hulu Perak antara 100 dan 120 ekor di tujuh kawasan, manakala 90 hingga 100 ekor di Hutan Belum.

Berita Harian X