Sabtu, 6 Jun 2020 | 12:51pm
Polis Daerah Seberang Perai Utara mengeluarkan kompaun terhadap mereka yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam beberapa operasi yang diadakan semalam. - Foto ihsan PDRM
Polis Daerah Seberang Perai Utara mengeluarkan kompaun terhadap mereka yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam beberapa operasi yang diadakan semalam. - Foto ihsan PDRM

Ingkar PKPB: Rentas negeri ikut laluan tikus

BUTTERWORTH: Polis mengeluarkan kompaun terhadap 26 individu yang mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di daerah ini semalam.

Kesemua mereka dikompaun kerana melakukan pelbagai kesalahan antaranya melepak sambil menikmati minuman keras dan cubaan merentas negeri.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata mereka yang dikompaun berusia lingkungan 19 hingga 43 tahun.

"Polis daerah ini masih giat menjalankan operasi pematuhan dalam memastikan orang awam tidak melanggar arahan yang ditetapkan.

"Dalam operasi yang diadakan pagi semalam hingga tengah malam tadi mendapati 26 individu masih ingkar pada PKPB lalu menyebabkan kompaun terpaksa di keluarkan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara kesalahan yang dilakukan adalah melepak sambil menikmati minuman keras di kawasan restoran serta pesisiran pantai dekat Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB).

"Selain itu, masih ada lagi yang ingkar apabila cuba melakukan perjalanan rentas negeri di laluan tikus namun berjaya dihalang melalui sekatan yang diadakan," katanya.

Kesemua mereka dikompaun RM1,000 mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Sehingga kini, polis daerah itu mengeluarkan sejumlah 548 kompaun terhadap mereka yang ingkar sejak PKPB dikuatkuasakan.

Berita Harian X