Ahad, 7 Jun 2020 | 4:10pm

Bagi alasan nak lawat isteri muda

KUALA TERENGGANU: Mahu berjumpa isteri muda antara alasan diberikan individu yang mahu melakukan perjalanan rentas negeri.

Selain mahu melawat isteri, alasan lain kerap diberikan kepada Polis Terengganu adalah untuk bekerja dalam tempoh bermula 4 Mei sehingga hari ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik, berkata pelbagai alasan diberikan individu yang mahu melakukan perjalanan rentas negeri dengan kebanyakan alasan adalah untuk bekerja dan beberapa urusan lain.

"Dalam tempoh ini, kita tak nafikan ada permohonan suami yang mahu melakukan perjalanan rentas negeri untuk melawat isteri muda.

"Pada mulanya, mereka ini tidak mahu memberikan tujuan asal mahu merentas negeri namun akhirnya akur dan kita beri kebenaran dengan melihat beberapa faktor," katanya pada sidang media berkaitan pencapaian Op Mule Siri 2/2020 Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Terengganu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa dan Ketua JSJK Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud.

Roslee berkata, pihaknya menerima antara 500 hingga 700 permohonan setiap hari daripada individu yang melakukan perjalanan rentas negeri.

"Semalam sahaja, kita menerima 748 permohonan dengan pelbagai alasan, namun enam daripadanya ditolak kerana gagal memberi alasan munasabah seperti tidak mengemukakan surat sokongan daripada majikan.

"Dalam tempoh sama, sebanyak 65,845 kenderaan yang mahu memasuki Terengganu diperiksa dengan 297 daripadanya diarah berpatah balik manakala 33 lagi dikenakan kompaun RM1,000 serta-merta ketika ditahan dalam sekatan jalan raya.

"Antara yang dikenakan tindakan ini adalah kerana gagal mengemukakan dokumen berkaitan, selain ada yang memalsukan dokumen kononnya mendapat tawaran bekerja sedangkan surat itu adalah palsu dan merentas negeri semata-mata mahu pulang ke kampung," katanya.

Foto Hiasan. NSTP/Asyraf Hamzah
Foto Hiasan. NSTP/Asyraf Hamzah
Berita Harian X