Selasa, 9 Jun 2020 | 11:29am

Hotel di Johor tawar diskaun 50 peratus

JOHOR BAHRU: Pemilik hotel di negeri ini menawarkan diskaun harga sehingga 50 peratus, selain memperkenalkan promosi hebat bagi menarik pengunjung melancong ke Johor.

Ia susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), mulai esok yang membenarkan rakyat negara ini merentas negeri sekali gus melancong di dalam negara.

Pengurus Pemasaran dan Komunikasi Hotel Thistle Johor Bahru, Joshua Wong, berkata pemain industri perhotelan dan pelancongan di negeri ini menawarkan promosi serta pakej menarik selepas terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Katanya, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan hampir semua pelanggan membatalkan tempahan bilik kecuali pekerja industri kritikal yang jumlahnya sangat kecil.

"Selaras pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membenarkan semula rentas negeri dan pelancongan domestik, Hotel Thistle Johor Bahru menawarkan diskaun harga bilik sehingga 50 peratus bermula esok untuk semua bilik kami.

"Promosi Harga Bilik Cuti-Cuti Malaysia ditawarkan hotel kami membolehkan pengunjung mendapatkan diskaun 43 peratus untuk harga bilik, semalam malah jika memilih menetap lebih dua malam dan ke atas.

Kakitangan Hotel Thistle melakukan nyah cemar dan sanitasi di setiap bilik hotel. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Kakitangan Hotel Thistle melakukan nyah cemar dan sanitasi di setiap bilik hotel. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Pemilik hotel di Johor perkenalkan promosi hebat tarik pengunjung selepas kerajaan benarkan melancong dalam negeri. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Pemilik hotel di Johor perkenalkan promosi hebat tarik pengunjung selepas kerajaan benarkan melancong dalam negeri. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Mereka juga akan menikmati diskaun harga 50 peratus iaitu pada kadar serendah RM190 semalam dengan pengunjung boleh menghubungi kami terus menerusi telefon, menerusi emel atau datang ke hotel.

"Pekerja kami juga melakukan kerja nyah cemar dan sanitasi secara berterusan di semua bilik dan kemudahan hotel sejak PKP lagi selain mematuhi garis panduan ketat diarahkan kerajaan sebagai langkah berjaga-jaga, " katanya ketika dihubungi.

Ahad lalu, Perdana Menteri dilaporkan membenarkan orang ramai melakukan aktiviti pelancongan domestik negara sepanjang tempoh PKPP berkuat-kuasa mulai esok.

"Jadi saudara saudari boleh membawa keluarga untuk melancong di dalam negeri dengan mengamalkan kebiasaan baharu setelah hampir tiga bulan tidak ke mana-mana," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jualan dan Pemasaran Lotus Resorts dan Hotel di Desaru, Kota Tinggi, Rohayat Din berkata, pihaknya juga memperkenalkan pakej istimewa Mini Pelancongan bagi menarik pengunjung ke dua hotelnya iaitu Lotus Desaru Beach & Spa dan Lotus Seaview Beach & Spa di Pengerang,Kota Tinggi.

"Kami sudah menerima sebanyak 238 tempahan bilik setakat semalam dan kita jangkakan ia akan meningkat menjelang esok apabila PKPP berkuatkuasa.

"Bagi bilik di Lotus Desaru Beach & SpaDesaru, ia ditawarkan pada harga istimewa serendah RM180 semalam manakala bagi bilik di Lotus Seaview Beach & Spa di Pengerang,ia ditawarkan pada harga istimewa serendah RM150 semalam, " katanya.

Pemain industri perhotelan dan pelancongan di Johor menawarkan promosi serta pakej menarik selepas terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Pemain industri perhotelan dan pelancongan di Johor menawarkan promosi serta pakej menarik selepas terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Berita Harian X