Khamis, 11 Jun 2020 | 8:22am
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak mengeluarkan kompaun kepada peniaga durian yang menggunakan penimbang tidak ditentusahkan. - Foto ihsan KPDNHEP
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak mengeluarkan kompaun kepada peniaga durian yang menggunakan penimbang tidak ditentusahkan. - Foto ihsan KPDNHEP

12 peniaga durian di Perak dikompaun

IPOH: Dua belas peniaga durian dikompaun selepas didapati melakukan kesalahan menggunakan penimbang tidak ditentusahkan dalam operasi sekitar Perak, semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak, Saifullizan Kamarul Zaman, berkata, mereka dikompaun RM100 setiap seorang atas kesalahan yang dilakukan itu.

"Hasil pemeriksaan pada hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mendapati 12 peniaga gerai durian menggunakan penimbang yang tidak ditentusahkan, ditandakan dengan cap, diperakui atau disahkan.

"Kementerian tidak mengawal harga bagi komoditi durian, namun peniaga wajib mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan oleh KPDNHEP iaitu memastikan penandaan harga pada barangan jualan.

"Selain itu, memastikan penggunaan alat timbang dan sukat yang sudah ditentusahkan serta masih dalam tempoh sah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Saifullizan berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu hingga semalam, pihaknya menerima 655 aduan dan sudah memeriksa 14,318 premis.

"Sebanyak 121 tindakan kes sudah dihasilkan membabitkan keseluruhan nilai kompaun sebanyak RM 66,150," katanya.

Berita Harian X