Ahad, 21 Jun 2020 | 9:23am
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menjalankan operasi menyelamat mangsa banjir di Kampung Baru Muafakat, Gelang Patah, Johor Bahru. -Foto ihsan JBPM
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menjalankan operasi menyelamat mangsa banjir di Kampung Baru Muafakat, Gelang Patah, Johor Bahru. -Foto ihsan JBPM

1,210 mangsa banjir di Johor

JOHOR BAHRU: Sebanyak 18 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di lima daerah terjejas banjir di negeri ini dengan 1,210 mangsa dipindahkan, berikutan hujan lebat hampir seharian semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata 1,210 mangsa itu membabitkan sebanyak 288 keluarga.

Katanya, Pontian mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu 349, diikuti Batu Pahat (343), Muar (276), Kluang (207) dan Tangkak (35).

"Namun, jumlah PPS paling banyak dibuka iaitu lima adalah di Muar manakala Pontian dan Kluang masing-masing empat PPS, Batu Pahat (tiga) dan Tangkak (dua)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Vidyananthan berkata, bagi daerah Muar kawasan terjejas banjir termasuklah Kampung Sabak Awor, Taman Bakariah, Jalan Datuk Haji Hassan dan Jalan Abd Rahman, Kampung Paya Lebar, Kampung Parit Salman, Kampung Parit Syafie,Sungai Gersik, Parit Jamil, Sungai Tohor, Sarang Buaya,Kampung Parit Haji Batu 15, Parit Samad, Parit Yaakob, Parit Karim Hulu, Jalan Kangkar Senangar dan Batu 18-20.

"Tangkak pula membabitkan Lorong Penghulu Long dan Kampung Tanjung Gading Darat manakala Batu Pahat pula banjir di Kampung Air Putih dan Selompat, Peserai, Parit Gantong dan Parit Pulai.

"Banjir di Pontian pula membabitkan kawasan Kampung Melayu Bukit Panjang, Kampung Paya Embun, Kampung Sawah, Jasa Sepakat dan Seri Bunian manakala Kluang membabitkan Kampung Shaari, Lorong Haji Amir, Kampung Chokro, Kampung Haji Noor, Sri Ampangan dan Kampung Kolam Air, " katanya.

Berita Harian X