Isnin, 22 Jun 2020 | 4:57pm
Che Abdullah (kiri) melihat beras organik yang diproses dk INSPEK Kampung Lintang.- Foto/Noorazura Abul Rahman
Che Abdullah (kiri) melihat beras organik yang diproses dk INSPEK Kampung Lintang.- Foto/Noorazura Abul Rahman

Tarik graduan, belia ceburi bidang perniagaan

SIK: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sedang meneliti mekanisme terbaik bagi menarik lebih ramai graduan dan belia menceburi bidang pertanian bagi menjamin keselamatan makanan negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, berkata bidang pertanian terutamanya yang ditanam secara organik mempunyai masa depan lebih cerah berikutan ia lebih selamat untuk manusia dan turut memelihara alam sekitar.

"Baru-baru ini, ada perbincangan antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bagi menyelesaikan masalah remaja dan graduan yang masih menganggur.

"Antara yang kita bincang adalah menggalakkan mereka berminat menceburi industri pertanian, jadi kita perlukan perbincangan lanjut dan mengkaji mekanisme terbaik untuk menarik perhatian mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan pertanian di Institut Pengurusan Pertanian Organik Bersepadu Kedah Darul Aman (INSPEK), di Sri Lovely Padi Organik di Kampung Lintang, Belantik, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Che Abdullah berkata, penanaman secara organik perlu diperkasa ke arah membentuk satu industri pertanian yang lebih dinamik dan menyeluruh.

Katanya, walaupun petani tanaman organik dalam negara masih rendah, namun ilmu mengenainya perlu diperluaskan kepada golongan belia.

"Seperti di institut ini, ia menjadi perintis melatih lebih 7,000 belia tempatan dan antarabangsa menjalani kursus jangka pendek supaya mereka dapat mempraktikkan ilmu diperoleh di kawasan masing-masing.

"Kita dapati penggunaan beras organik juga semakin berikutan masyarakat sudah mementingkan aspek kesihatan dan cara hidup sihat," katanya.

Berita Harian X