Ahad, 28 Jun 2020 | 10:41pm
Wakil AEON Malaysia, SMAHI dan KOOP GTR bergambar bersama lembu baka ‘Charolais’ sempena majlis pelancaran program Berkat Korban di AEON Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur.
Wakil AEON Malaysia, SMAHI dan KOOP GTR bergambar bersama lembu baka ‘Charolais’ sempena majlis pelancaran program Berkat Korban di AEON Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur.

Lembu 1 tan tarikan program Berkat Korban

KUALA LUMPUR: Pandemik COVID-19 memberi kesan kepada semua pihak, aktiviti dan sektor ekonomi, termasuk pengusaha industri penternakan.

Menjelang Aidiladha yang bakal disambut hujung bulan depan, ibadah korban juga menerima kesannya apabila aktiviti penyembelihan dihadkan di kawasan masjid, surau dan lokasi yang hanya dibenarkan oleh pihak berkuasa.

Bagi membantu memudahkan penternak menjual ternakan untuk korban dan umat Islam menunaikan ibadah berkenaan, program Berkat Korban dianjurkan bagi menjayakan ibadat itu dalam suasana kebiasaan baharu.

Ia dianjurkan oleh AEON Co (M) Sdn Bhd dengan kerjasama Facebook (FB) Suami Masak Apa Hari Ini? (SMAHI) dan Koperasi Kelab Generasi Transformasi Ruminan Malaysia (KOOP GTR).

Sejumlah 50 lembu baka 'Charolais' yang purata berat setiap seekor dianggarkan hampir satu tan disediakan dan menjadi antara tarikan program Berkat Korban tahun ini.

Yang turut disediakan, 1,000 lembu baka lain dan 500 kambing untuk korban melalui pakej bermula RM799, RM899, RM999, RM1199 dan RM2,799.

Ketua Pegawai Eksekutif AEON Retail Malaysia, Shafie Shamsuddin, berkata pihaknya menyedari halangan dihadapi umat Islam bagi menyambut Aidiladha pada tahun ini yang berbeza dengan sambutan pada tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif AEON Retail Malaysia, Shafie Shamsuddin.
Ketua Pegawai Eksekutif AEON Retail Malaysia, Shafie Shamsuddin.

Katanya, setiap individu perlu mengambil langkah menjaga keselamatan dan kesihatan serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan dalam menunaikan ibadah korban kali ini.

"Dalam situasi hari ini, surau dan masjid seluruh negara terpaksa mengehadkan aktiviti keagamaan termasuklah ibadah korban yang boleh dilakukan, tetapi berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini.

"Menyedari cabaran yang dihadapi, AEON bersyukur dapat menyediakan ruang melalui program Berkat Korban untuk membantu masyarakat Islam menunaikan ibadah ini dengan cara yang sistematik," katanya.

Beliau ditemui pada majlis pelancaran program Berkat Korban di AEON Taman Maluri, Cheras, di sini.

Hadir sama, penasihat syariah program berkenaan, Datuk Dr Mohd Daud Bakar; Pengerusi Koop GTR, Nordin Mat dan pengasas SMAHI, Mohd Salleh Abd Hamid.

Umat Islam yang berminat menyertai program Berkat Korban boleh membuat tempahan dalam talian di laman myaeon.com.my atau smahi.my atau mendaftar terus di 50 cawangan AEON seluruh negara mulai 27 Jun hingga 25 Julai depan.

Berita Harian X