Rabu, 1 Julai 2020 | 12:00pm

Kanak-kanak pakai pelindung muka khas

IPOH: Sebuah TADIKA di sini mengambil langkah proaktif dengan menyediakan pelindung muka kepada setiap kanak-kanak langkah tambahan sempena pembukaan semula TADIKA, hari ini.

Guru, Najwa Farhana Mohd Jafri, berkata pihaknya sudah menyiapkan pelindung muka dan lain-lain mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) di TADIKA berkenaan sejak dua minggu lalu.

Katanya, pelindung muka itu boleh diulang guna, kanak-kanak lebih selesa dan mudah untuk berkomunikasi semasa pembelajaran.

"Sebelum TADIKA dibuka kami sudah membuat persiapan SOP seperti menghasilkan pelindung muka, cecair pembasmi kuman dan sabun.

"Pelindung muka ini kami reka sendiri khas. Sebaik kanak-kanak sampai di pintu masuk kami akan memeriksa suhu, memberi cecair pembasmi kuman sebelum memakai pelindung muka" katanya ketika ditemui TADIKA itu yang membabitkan 28 kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun, di sini hari ini.

Najwa berkata, guru kemudiannya akan membawa masuk kanak-kanak ke dalam TADIKA dan mengikut penjarakan sosial.

Katanya, ibu bapa yang datang juga akan perlu mengimbas Kod QR dan wajib mengisi borang yang disediakan Jabatan Pendidikan (JPN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memudahkan pihak TADIKA menghubungi ahli keluarga.

"Bagi minggu pertama ini, TADIKA akan membuat orientasi penjarakan sosial dan sesi pembelajaran secara kreatif berkaitan wabak COVID-19 seperti membuat motor halus dan kolaj agar mereka dapat memahami lebih jelas," katanya.

Pekerja syarikat swasta, Nur Amira Zakaria, 35, berkata, dia berasa lega dapat menghantar tiga anaknya sebelum mula bekerja minggu depan.

"Saya sudah melihat melalui aplikasi WhatsApp group TADIKA menunjukkan penjagaan SOP di sini dan sebagai ibu bapa selepas melihatnya kami menjadi yakin untuk menghantar anak," katanya.

Galeri:

  • Hari pertama persekolahan murid pra sekolah dibuka
  • SEORANG guru di sebuah TADIKA memasang pelindung muka kepada kanak-kanak yang hadir hari ini. Foto/Balqis Jazimah Zahari
    SEORANG guru di sebuah TADIKA memasang pelindung muka kepada kanak-kanak yang hadir hari ini. Foto/Balqis Jazimah Zahari
    Berita Harian X